PETALING JAYA: Pelakon, Kamal Adli memohon agar orang ramai menghentikan penyebaran sebarang hantaran berunsur negatif berkaitan rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose.
Menurut Kamal, tindakan tersebut dikhuatiri memberi kesan kepada anak mereka, Hawra Uqaira, pada masa hadapan.
“Salam, nak minta tolong boleh? Boleh tak minta ihsan anda atau sesiapa untuk tidak muat naik hantaran tidak baik tentang saya dan Uqasha.
“Tidak baik juga untuk Hawra Uqaira. Kesiankan kami. Maaf dan terima kasih banyak,” tulisnya menerusi hantaran di Threads.
Terdahulu, kisah mengenai dakwaan keretakan rumah tangga pasangan pelakon itu mencuri perhatian ramai apabila Uqasha berkongsi beberapa keping gambar memaparkan pipinya dalam keadaan lebam yang didakwa akibat dipukul oleh suaminya.
Bagaimanapun, Kamal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan tidak pernah melakukan kekerasan terhadap isterinya sepanjang tempoh perkahwinan mereka, termasuk menumbuk atau menarik rambut Uqasha.
Untuk rekod, Kamal Adli dan Uqasha Senrose mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. -UTUSAN










