‘Kalau tiada tapak hang nak pi duk tang mana’ - Utusan Malaysia

‘Kalau tiada tapak hang nak pi duk tang mana’

Muhammad Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah tidak pernah menganggap bahawa usaha menarik pelaburan ke Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang mencecah RM168 bilion dalam tempoh lima tahun ini hanya usaha kerajaan negeri itu semata-mata.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kejayaan itu sebaliknya hasil kerjasama pihaknya dengan pelbagai agensi terutama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Katanya, pencapaian yang diraih itu juga ekoran keyakinan pelabur terhadap persekitaran, rantaian bekalan dan kecekapan pentadbiran daripada peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju.

“Saya tak pasti pasai apa depa tak mai (melabur) dulu mungkin di tempat lain ada tawaran lebih baik, murah atau persekitaran lebih sesuai. Tapi apabila kita cipta persekitaran yang jelas semasa perundingan dan PBT menjadi pemudah cara, ia jaminan yang mereka tak akan menyesal untuk letak duit di sini.

“Saya rasa persekitaran itu saja yang tarik minat mereka dalam tempoh lima tahun ini, RM168 bilion mai di Kedah. Depa kata ini kerja MIDA, betul kita kerjasama dengan pihak yang terlibat dengan pelaburan MITI, MIDA, Matrade untuk pastikan pelabur mai.

“Yang penting bukan kita nak claim nama kita, kita bukan one man show. Tiada pihak yang boleh claim kata dia seorang buat kerja ini dan hanya MIDA buat kerja itu, kalau kami tak sedia tapak hang nak pi duk tang mana,” katanya ketika menjadi panel dalam Forum: How Board Shape Corporate Success di sini, hari ini.

Pelaburan di KHTP sering menjadi polemik dan perang politik berikutan ada pihak yang mendakwa kejayaan taman teknologi tinggi itu usaha satu pihak sahaja tanpa melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Ujar Muhammad Sanusi, tiada usaha menyalahkan antara satu sama lain dibuat selain tidak mengugut sesiapa supaya persekitaran itu kelihatan bersih untuk pelabur datang.

Tambahnya, pelabur luar juga melahirkan harapan agar mereka diberi kelancaran sewajarnya untuk urusan perniagaan di negara ini, berbanding hanya ditekan yang boleh menghilangkan minat untuk melabur.

“Dia pun nak pastikan duit dibawa mai tu selamat kerana ada yang melabur di negara lain polisi tanah berubah, mana-mana tanah yang tersalah kira dirampas kerajaan negara itu. Ribuan hektar tanah ladang dimiliknegarakan, kalau syarikat kecil akan bungkus tapi oleh kerana agak besar mereka boleh bertahan.

“Jadi kita nak polisi negara, negeri, PBT selari dan jangan bertelagah di hujung kerana saya rasa semua faktor yang disediakan seperti persekitaran, rantaian bekalan, kerajaan negeri, pemaju semua boleh selari dasar-dasar polisi semasa agar pelabur berpuas hati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN