PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, mencuri perhatian apabila seolah-olah memberi bayangan mengenai soal jodoh dalam perbualannya bersama selebriti popular, Nur Fazura, seperti yang tular menerusi sebuah video di media sosial.
Kejadian itu dirakam ketika Fazura hadir memberi sokongan di booth jualan Bella sempena Halal International Expo Singapura. Sebelum beredar, Fazura sempat menitipkan doa agar Bella segera dipertemukan jodoh yang baik.
“Semoga berjodohan semua,” ujar Fazura.
Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 31, kemudian secara spontan membalas doa tersebut sambil berseloroh bahawa Fazura perlu hadir sekiranya menerima jemputan majlis istimewanya kelak.
“Tapi kalau jemput kena datang,” kata Bella yang membuatkan Fazura kelihatan terkejut mendengar kenyataan tersebut.
Fazura bagaimanapun mendoakan agar setiap keputusan yang bakal diambil Bella membawa kebahagiaan.
“Betullah sudah ‘confirm’? Mudah-mudahan yang terbaik, semoga berjaya. Sekarang kita nak bahagia dan gembira,” kata Fazura.
Bella dilihat hanya tersipu malu tanpa mengulas lanjut.
Dalam video sama, Fazura turut membeli produk jualan Bella selain menasihati anak-anak Bella agar menjaga ibu mereka dengan baik.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat meluahkan rasa teruja dan berharap agar Bella disatukan segera dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Wah, Bella sudah jemput Fazura, comelnya,” tulis seorang pengguna.
“Yahu, nampaknya sudah ‘confirm’,” komen seorang lagi.
“Bella sudah beri ‘hint’, kita pula yang teruja,” kata pengguna lain.










