PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan empat individu berhubung penemuan janin bayi lelaki oleh seorang pekerja syarikat Alam Flora ketika sedang memunggah sampah ke dalam lori di kawasan Bukit Jalil, Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, anggaran umur janin yang ditemukan adalah berusia 25 minggu.
Katanya, janin berkenaan mengalami kecederaan di tubuh semasa dia ditemukan.
“Semakan mendapati, janin itu cedera bahagian perut, tengkorak kepala pecah dan tali pusat putus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, seorang pekerja syarikat Alam Flora menemukan janin berkenaan kira-kira pukul 12.51 tengah hari di dalam sebuah lori sampah.
Lelaki itu kemudian melaporkan penemuan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan. – UTUSAN









