Jualan Rahmah Madani ringankan beban mangsa banjir 

Jualan Rahmah Madani ringankan beban mangsa banjir 

FUZIAH Salleh (kanan) beramah mesra dengan orang ramai semasa menghadiri Program Jualan Rahmah Madani di Tapak Futsal Kampung Neting, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM300,000 bagi melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sekali gus meringankan beban penduduk yang terkesan dengan banjir.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan PJRM adalah langkah proaktif kerajaan untuk memastikan penduduk terjejas banjir terus mempunyai akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Katanya, PJRM menawarkan barangan keperluan asas pada harga mampu milik yang melibatkan penjimatan sehingga 30 peratus berbanding dengan harga pasaran.

“Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan juga mempertingkat pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan di kawasan terjejas banjir khususnya di lokasi yang berisiko terputus hubungan akibat limpahan air bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dan mudah diperoleh penduduk.

“Kita juga menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menggerakkan inisiatif Jualan Rahmah di beberapa lokasi berhampiran pusat pemindahan sementara (PPS) tertakluk kepada keperluan semasa dan keadaan banjir,” katanya Sempena Walkabout PJRM Monsun di Kampung Neting, di sini hari ini.

Fuziah berkata, pihaknya turut mengadakan PJRM Kembali Ke Sekolah di 43 premis bermula 18 Disember ini hingga 10 Januari depan secara bergerak.

Katanya, kerajaan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan kebajikan rakyat melalui penyediaan bekalan barangan keperluan asas mencukupi, mudah akses dan berpatutan sepanjang tempoh bencana. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×