JSJ fokus lumpuhkan rangkaian kumpulan jenayah terancang

JSJ fokus lumpuhkan rangkaian kumpulan jenayah terancang

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengenal pasti beberapa kumpulan jenayah terancang yang sudah berada dalam radar siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, strategi utama dalam membanteras jenayah kekerasan dan memperkukuh keselamatan awam adalah memutuskan rangkaian kumpulan ini.

Kata beliau, pendekatan berkenaan memberi keutamaan kepada pengesanan struktur dalaman kumpulan jenayah termasuk peranan setiap anggota, aliran kewangan serta rangkaian sokongan yang membolehkan kumpulan itu terus bergerak.

“Fokus kita bukan sekadar menangkap individu yang melakukan jenayah, tetapi melumpuhkan keseluruhan rantaian kumpulan yang menyokong kegiatan itu.

“Kalau hanya tangkap individu, rangkaian kumpulan masih wujud dan mereka boleh terus bergerak,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, kumpulan jenayah terancang bergerak secara berkumpulan, tersusun dan mempunyai niat bersama untuk kepentingan kumpulan.

Jelas M. Kumar, dari sudut undang undang, kumpulan jenayah terancang ialah kumpulan yang dianggotai dua atau lebih orang yang melakukan jenayah kekerasan membawa hukuman 10 tahun ke atas.

“Mereka tidak bergerak secara solo tetapi bertindak dengan niat bersama. Kumpulan sedemikian lazimnya mempunyai struktur hierarki dan pembahagian peranan tertentu.

“Dalam kumpulan ini ada yang berperanan sebagai penyerang, ada yang mengutip kewangan dan ada yang menjalankan pengedaran dadah, setiap ahli tahu peranan masing masing dan bertindak secara teratur,” jelasnya.

Beliau berkata, penggunaan kekerasan bertujuan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat bagi mengukuhkan pengaruh kumpulan itu.

“Mereka menggunakan kekerasan untuk menimbulkan ketakutan awam supaya kumpulan ini boleh terus menguasai kawasan dan aktiviti mereka, itu antara ciri utama kumpulan jenayah terancang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun hanya satu atau dua kes terpencil direkodkan, tindakan tegas tetap perlu diambil bagi mengelakkan kewujudan kumpulan sedemikian daripada terus berkembang.

“Trend jenayah terancang tidak meningkat, tetapi walaupun satu dua kes terpencil, tindakan tegas perlu diambil.

“Kalau dibiarkan, kemungkinan wujud peningkatan pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata, peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan Langkah Langkah Khas 2012 atau SOSMA digunakan bagi membolehkan polis menyiasat keseluruhan struktur kumpulan dan melindungi kepentingan saksi.

“Matlamat kita untuk memastikan kumpulan ini tidak lagi mampu mengancam keselamatan masyarakat, seperti kejayaan polis menumpaskan ‘Geng Jack Sparrow’ sebelum ini.

“Sebagai pengarah, saya tidak akan berkompromi dan akan bertindak agresif dalam usaha menangkap semua penjenayah ini, kita akan pastikan keseluruhan rangkaian dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN