ALOR SETAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menjalankan siasatan berhubung tindakan sebuah sekolah yang menjemput seorang pempengaruh media sosial untuk merasmikan majlis anugerah akademik, baru-baru ini.
Jabatan itu dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pentadbir sekolah yang didapati melanggar peraturan sedia ada.
“JPN Kedah memandang serius isu jemputan seorang pempengaruh media sosial merasmikan majlis anugerah akademik di sebuah sekolah di negeri ini.
“Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi peraturan yang sedang berkuatkuasa,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, JPN Kedah mengingatkan semua pentadbir sekolah untuk memastikan jemputan kepada pihak luar mematuhi garis panduan.
“Tetamu yang dijemput perlu menjadi contoh yang baik selari dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara,” katanya. – UTUSAN










