TEMERLOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang membongkar tiga cubaan penyeludupan melibatkan basikal elektrik, beras, tepung beras dan rokok putih tidak berkastam dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM1.31 juta dengan jumlah cukai dan duti dianggarkan RM916,461.
Pengarahnya, Mohd. Asri Seman berkata, kejayaan berturut-turut itu hasil tindakan pantas pasukan penguat kuasa di Temerloh dan Kuantan, selain risikan berterusan terhadap kegiatan pengikraran palsu di pintu masuk negara khususnya di Pelabuhan Klang.
Katanya, dalam kes pertama, sepasukan anggota JKDM Stesen Kuantan menyita kontena 40 kaki di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 9 Oktober lalu kira-kira pukul 10.50 pagi.
“Hasil pemeriksaan, kontena yang diikrarkan membawa ‘Bicycle’, ‘Racing Bicycle’ dan ‘Kids Bicycle’ sebenarnya mengandungi 434 unit basikal elektrik. Barang ini adalah larangan import dan memerlukan permit daripada MITI,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM, di sini hari ini.
Mohd. Asri berkata, nilai rampasan bagi kes itu dianggarkan RM272,200 manakala jumlah cukai cuba dielakkan ialah RM127,981.
“Modus operandi penyeludup ialah menggunakan pengikraran tidak betul dalam Borang Kastam (K1). Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda 20 kali ganda nilai barang atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, dalam kes kedua pada hari sama kira-kira pukul 1 petang, pasukan JKDM Kuantan turut menyita dua kontena 20 kaki yang diikrarkan membawa tepung di Pelabuhan Utara.
“Pemeriksaan rapi bagaimanapun menemukan guni berisi beras tidak diikrarkan yang disembunyikan bersama tepung berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa. Rampasan melibatkan 7,950 kilogram tepung beras bernilai RM23,840, 41,600 kilogram beras bernilai RM832,000 dengan anggaran cukai sebanyak RM332,800.
“Kedua-dua produk itu termasuk dalam senarai barang larangan import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan permit Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) serta pemeriksaan MAQIS. Modus operandi turut melibatkan pengikraran palsu dalam Borang K1 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Menurutnya, dalam kes ketiga pada 13 Oktober lalu kira-kira pukul 9.45 pagi, anggota JKDM Temerloh menahan sebuah lori perdagangan di Klang, Selangor yang membawa 113,020 paket rokok putih tidak berkastam bersamaan 2,374,400 batang rokok pelbagai jenama.
“Nilai rampasan mencecah RM182,272, manakala anggaran cukai cuba dielakkan dianggarkan RM455,680. Seorang lelaki warga Myanmar berusia 38 tahun turut ditahan dan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 November, sebelum mengaku bersalah.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun serta melucut hak semua rampasan kepada kerajaan mengikut Seksyen 127 Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN










