PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Karl Shafek bangga apabila jenama pakaiannya, Neonate, yang digayakan oleh kumpulan Alpha, menerima pujian penata gaya di Korea Selatan.
Menurut Karl atau Khairul Shafek Ibrahim, 45, pengiktirafan itu menambah keyakinannya untuk dia meneruskan kerjasama bersama tujuh anggota Alpha dalam projek yang lebih besar.
“Beberapa anggota Alpha sudah memakai jenama kami sejak program Big Stage lagi. Identiti mereka sangat bertepatan dengan DNA Neonate.
“Ramai peminat berpendapat mereka kelihatan lebih matang, bergaya dan menonjol apabila mengenakan rekaan kami.
“Malah, ketika mereka terbang ke Korea Selatan baru-baru ini, penata gaya di sana turut memuji rekaan Neonate,” katanya yang ditemui pada Pelancaran Koleksi Love Story Neonate di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Karl menjelaskan kolaborasi bersama Alpha cukup istimewa, apatah lagi beliau pernah menghasilkan koleksi dinamakan Alpha sebelum kemunculan kumpulan tersebut beberapa tahun lalu.
“Bagi saya, ini bukan kolaborasi biasa. Bayangkan, 10 tahun lalu saya keluarkan koleksi Alpha. Kemudian pada 2025, muncul pula Alpha dalam bentuk sebenar dan mereka memilih untuk memakai jenama saya.
“Ia benar-benar mengharukan. Saya anggap ia satu cabaran baharu yang menyeronokkan. Nama yang sama muncul semula dalam bentuk fizikal dan membuka peluang besar kepada Neonate,” tambahnya.
Karl turut memaklumkan beliau mula bekerjasama dengan kumpulan berkenaan sejak kemunculan mereka dalam pertandingan Big Stage.
“Identiti mereka cukup sejajar dengan Neonate. Setiap anggota Alpha mempunyai karakter tersendiri, dan itu menjadikan mereka sangat serasi dengan konsep kami,” ujarnya.
Mengakui bukan mudah menghasilkan rekaan untuk tujuh individu dengan personaliti berbeza, Karl bagaimanapun menyifatkan ia sebagai satu cabaran menarik.
“Neonate memang gemar bekerja mengikut tema. Jadi apabila Alpha mempunyai tujuh karakter unik, kami jadikan kumpulan itu sendiri sebagai sebuah tema besar. Setakat ini, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Neonate bakal melancarkan koleksi pakaian dan cenderamata rasmi Alpha yang dijangka menemui peminat tahun depan. -UTUSAN










