Jangan jadikan masjid, surau sebagai 'gajah tidur' - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Jangan jadikan masjid, surau sebagai ‘gajah tidur’ – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berangkat pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa masjid tidak seharusnya terus terperangkap dalam kepompong pemikiran jumud dan lapuk.

Baginda bertitah, masjid sebaliknya perlu ditransformasi menjadi pusat kecemerlangan ummah yang berperanan lebih luas, merangkumi aspek pendidikan, sosial, ekonomi dan pembangunan sahsiah masyarakat.

“Masjid hendaklah ditransformasikan menjadi pusat kecemerlangan ummah, yang tidak lagi berimej sekadar tempat menunaikan solat dan mengadakan pengajian yang terbatas kepada subjek agama.

“Masjid sebaiknya hendaklah aktif menggalas peranan pendidikan, pengembangan pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi, kaunseling keluarga, aktiviti remaja, pembangunan sosial dan ekonomi serta berperanan sebagai pusat memupuk adab, jati diri dan perpaduan masyarakat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sultan Nazrin bertitah, sebanyak 700 masjid dan 1,773 surau di Perak tidak boleh dibiarkan menjadi ‘gajah tidur’, sebaliknya perlu diaktifkan sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya ummah.

Baginda bertitah, masjid dan surau juga perlu diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat pelbagai peringkat usia anggota kariah merangkumi kanak-kanak prasekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut maktab dan universiti serta golongan belia.

“Ahli jawatankuasa masjid tidak boleh bersifat memekakkan telinga terhadap isu-isu yang ada kaitan langsung dengan kehidupan ummah dan ahli-ahli kariah juga tidak boleh bersifat memejamkan mata terhadap cabaran yang berlaku dalam persekitaran kehidupan ummah,” titah baginda.

Baginda bertitah,  ahli-ahli jawatankuasa masjid hendaklah berfikiran besar bagi membolehkan masjid berperanan lebih dinamik, melalui pemikiran yang dikeluarkan dari kotak sempit.

Titah baginda, minda juga perlu dimerdekakan daripada kepompong pemikiran lama yang telah disemai oleh penjajah secara terancang, yang secara tersirat bertujuan membatasi peranan masjid hanya kepada urusan ibadat dengan dimensi yang sempit.

“Masjid hendaklah peka kepada keadaan persekitaran, cabaran dan masalah yang dihadapi oleh ummah semasa.

“Masjid bertenaga untuk tampil ke hadapan mengambil tanggungjawab fardu kifayah membantu menangani tiga perkara iaitu keterjaminan makanan, penjagaan alam sekitar dan isu kesihatan,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN