PADAWAN: Taktik sindiket mengedar cecair ganja menggunakan katrij vape terbongkar hasil penahanan seorang ahli sindiket berkenaan ketika mengambil bekalan itu yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier di Jalan Kong Ping, di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata hasil tangkapan yang dibuat kira-kira pukul 9 pagi, 5 Disember lalu itu membawa kepada rampasan satu kotak mengandungi 690 katrij vape yang dianggarkan bernilai RM586,500 itu, yang dibungkus menggunakan bungkusan coklat.
Menjelas lanjut, beliau berkata seorang ahli sindiket iaitu lelaki tempatan berusia 20 tahun turut ditahan ketika mengambil bekalan itu menggunakan sebuah motosikal.
Katanya suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak September lalu dan ketika ditangkap, ia merupakan kali kedua dia terlibat dalam kegiataan berkenaan dengan mengambil bungkusan yang diarahkan di pusat perkhidmatan kurier.
“Suspek menerima upah sebanyak RM200 untuk pengambilan bungkusan kotak di pusat perkhidmatan kurier dan menerima RM20 untuk setiap satu katrij yang dihantar kepada pelanggan di sekitar Kuching dan Padawan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, hari ini.
Mohd Irwan berkata ujian air kencing ke atas suspek bagaimanapun didapati negatif dadah dan kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari iaitu mulai 7 hingga 13 Disember ini.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Beliau berkata siasatan lanjut juga sedang giat dilakukan bagi mengesan ketua dan rangkaian sindiket yang menjalankan urusan dan pengedaran dadah berkenaan.
Justeru, Mohd Irwan menyifatkan kejayaan tangkapan itu adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam, dengan pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang boleh disalurkan menerusi Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 dan Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211. – UTUSAN










