PETALING JAYA: Industri sarang burung walet Malaysia yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.5 bilion terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan potensi tinggi sebagai sektor bernilai tinggi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkembangan positif itu termasuk peningkatan eksport ke China daripada 201 tan pada 2023 kepada 484 tan tahun lalu sekali gus menunjukkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap kualiti sarang burung Malaysia.
“Malaysia baru sahaja memeterai protokol baharu dengan pihak berkuasa China bagi melancarkan semula eksport sarang burung ke pasaran terbesar dunia itu. Pembukaan semula pasaran ini membuka ruang baharu kepada pengusaha tempatan untuk meningkatkan eksport.
“Kami komited memastikan pengusaha, kecil mahupun besar, menerima manfaat secara langsung. Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan semua pemain industri bagi memastikan kemudahan dan standard pemprosesan berada pada tahap terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Protokol baharu bagi eksport Sarang Burung Boleh Dimakan (EBN) antara Malaysia dan China yang dimeterai bulan lalu dijangka mengukuhkan hubungan perdagangan pertanian kedua-dua negara serta meningkatkan keyakinan China terhadap sistem kawal selia dan keselamatan makanan Malaysia.
Perjanjian itu bakal memberi manfaat langsung kepada lebih 15,000 pengusaha rumah burung walet serta 61 loji pemprosesan yang telah diluluskan pihak berkuasa China, sekali gus memperkukuh daya saing eksport agromakanan negara. – UTUSAN










