Indeks Pelopor meningkat 3.6 peratus pada Oktober - Utusan Malaysia

Indeks Pelopor meningkat 3.6 peratus pada Oktober

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi tahunan Indeks Pelopor (IP) bagi Oktober 2025 mencatatkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 3.6 peratus kepada 116.2 mata berbanding 112.2 mata pada tempoh sama tahun lalu, sekali gus memberi petunjuk awal momentum ekonomi yang lebih kukuh menjelang 2026.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, lonjakan ketara IP dipacu oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh dalam tiga komponen utama indeks berkenaan.

Menurut beliau, bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan merekodkan peningkatan 51.2 peratus, diikuti import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain sebanyak 39.2 peratus serta import benar semikonduktor yang meningkat 32.4 peratus.

“Pada masa yang sama, prestasi bulanan IP melonjak kepada 2.6 peratus pada Oktober 2025 selepas mencatatkan penurunan selama dua bulan berturut-turut, disokong oleh prestasi yang bertambah baik dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain yang meningkat 1.8 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, perkembangan positif itu menggambarkan momentum ekonomi yang semakin kukuh menjelang tahun 2026.

“Selaras dengan peningkatan ketara prestasi IP, DOSM memaklumkan trend arah aliran jangka panjang terlicin IP telah melepasi paras 100 mata pada Oktober 2025. 

“Berdasarkan perkembangan tersebut, prospek ekonomi negara dijangka lebih optimis pada masa hadapan.

“Prospek berkenaan disokong oleh aktiviti ekonomi yang menggalakkan, khususnya dalam import barangan perantaraan, selain prestasi yang memberangsangkan merentasi sektor ekonomi utama iaitu sektor perkhidmatan dan pembuatan,” katanya. 

Dalam menilai kedudukan ekonomi semasa pula, Indeks Serentak (IS) terus mencatatkan peningkatan tahunan yang kukuh sebanyak 2.7 peratus kepada 129.9 mata berbanding 126.5 mata pada tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan signifikan sebanyak 15.3 peratus dalam Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencerminkan aliran pendapatan pekerja yang lebih stabil serta kesinambungan peluang pekerjaan dalam ekonomi.

Pada asas bulanan, IS turut menunjukkan perkembangan positif sebanyak 0.6 peratus, yang sebahagian besarnya dipacu oleh kenaikan dalam Gaji dan Upah Benar dalam sektor pembuatan serta Nilai Caruman Benar KWSP, masing-masing menyumbang 0.2 peratus kepada peningkatan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN