Iklan mengelirukan: RimbaWatch fail semakan kehakiman terhadap dua kementerian

Iklan mengelirukan: RimbaWatch fail semakan kehakiman terhadap dua kementerian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badan pemantau alam sekitar, RimbaWatch memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap dua kementerian yang didakwa gagal menyiasat pengiklanan yang didakwa mengelirukan orang ramai berhubung penggunaan bahan api fosil.

Menurut kenyataan media oleh RimbaWatch, organisasi terbabit memfailkan permohonan itu melalui firma guaman, Tetuan Thurairaj T. Kumar & Associates dengan menamakan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku responden di Mahkamah Tinggi di sini, minggu lalu.

RimbaWatch berkata, pihaknya telah memfailkan aduan rasmi kepada KPDN sebagai agensi yang berperanan melindungi kepentingan pengguna dan NRES sebagai kementerian yang bertanggungjawab melindungi alam sekitar pada 20 September 2025 berhubung iklan yang mempromosikan bahan api fosil sebagai neutral karbon.

“Kami berpandangan sekiranya benar dakwaan tersebut adalah mengelirukan, ia berpotensi menjejaskan pengguna serta usaha-usaha melindungi alam sekitar,” kata kenyataan itu.

Namun, pada 30 September tahun sama, RimbaWatch menerima maklum balas daripada KPDN dan NRES yang memaklumkan aduan tersebut berada di luar bidang kuasa masing-masing.

“KPDN menyatakan kami perlu mengemukakan aduan kepada NRES manakala NRES pula meminta aduan itu dirujuk kepada KPDN.

“Kami percaya keputusan kedua-dua kementerian yang mendakwa aduan berkenaan berada di luar bidang kuasa mereka adalah tidak berasas.

“Ia seolah-olah tiada mana-mana agensi kerajaan yang mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan pengiklanan mengelirukan berkaitan perlindungan iklim,” katanya.

Sehubungan itu, RimbaWatch memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kedua-dua keputusan berkenaan.

“Kami percaya ini merupakan kali pertama di Malaysia. Kami merujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menetapkan bahawa tanggungjawab sesebuah negara untuk melindungi iklim adalah ketat.

“Oleh itu, setiap negara wajib mewujudkan satu sistem nasional yang lengkap merangkumi perundangan, prosedur pentadbiran serta mekanisme penguatkuasaan bagi mengawal aktiviti yang berpotensi menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Difahamkan, kes RimbaWatch terhadap NRES akan didengar pada 21 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN