JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal meluahkan rasa kecewa apabila anak perempuannya yang juga murid autisme didakwa dihalang daripada hadir ke sekolah tanpa alasan munasabah sejak lebih dua minggu lalu.
Elinoisna Abu, 47, mendakwa anaknya, Solehah Azzahra Nazri, 12, seorang murid cemerlang yang pernah menerima Anugerah Olahragawati dan Atlet Terbaik Sekolah 2025 dalam acara lumba lari serta lompat jauh selain mewakili sekolah ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) selama dua tahun berturut-turut, diarahkan bercuti oleh pihak sekolah di sini.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan sehari selepas kejadian tantrum membabitkan Solehah Azzahra di sebuah kelas Tahun Lima pada 20 November lalu.
“Saya dimaklumkan anak saya dikatakan mencederakan seorang murid perempuan berusia 11 tahun, namun tiada sebarang bukti atau gambar ditunjukkan kepada saya. Saya hanya diberitahu pakaian murid itu koyak,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Taman Setia Indah, di sini.
Elinoisna berkata, kejadian tersebut berpunca daripada tekanan emosi selepas seorang guru memarahi Solehah ketika sesi latihan tarian, menyebabkan anaknya menangis dan melarikan diri ke kelas lain.
“Sepanjang kejadian itu, rakan-rakannya cuba menenangkan Solehah. Mereka juga memegang tangannya ketika dia cuba membaling gunting secara rambang, namun tiada sesiapa yang cedera,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, pihak sekolah mengarahkan anaknya bercuti bermula 21 November tanpa mengeluarkan sebarang surat rasmi walaupun beliau beberapa kali hadir ke sekolah untuk meminta penjelasan.
Menurut Elinoisna, pertemuan melibatkan guru serta ibu bapa murid Tahun Lima pada 1 Disember lalu bertukar tegang apabila terdapat ibu bapa mendakwa Solehah membahayakan keselamatan murid lain.
“Seorang bapa mengugut mahu membuat laporan polis secara beramai-ramai sekiranya saya masih menghantar Solehah ke sekolah. Malah, ada ibu yang meletakkan syarat supaya saya perlu mengiringi anak saya sepanjang sesi persekolahan,” katanya.
Beliau berkata, Solehah dihantar semula ke sekolah pada 4 Disember selepas membuat laporan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan dimaklumkan bahawa anaknya tidak sepatutnya dihalang daripada menerima pendidikan namun Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid memintanya menandatangani surat akujanji tidak bertanggungjawab atas sebarang risiko.
“Saya enggan menandatangani surat itu kerana PPD tidak pernah memaklumkan tentang syarat berkenaan. Saya juga telah membuat laporan polis pada Jumaat lalu bagi mempertahankan tindakan saya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyemak perkara tersebut dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN










