PETALING JAYA: Penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) perlu diperluas kepada sekolah terbengkalai atau menghadapi kelewatan tarikh siap bagi memastikan pembinaan lebih cepat, kos lebih rendah dan proses pembelajaran murid tidak terganggu.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, teknologi IBS kini menjadi keperluan dalam pembinaan sekolah baharu.
“Penggunaan IBS terbukti lebih efisien dan berkesan berbanding kaedah konvensional. Teknologi moden ini mampu mempercepatkan proses pembinaan serta memperkenalkan reka bentuk yang lebih baharu dan berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Anuar berkata, langkah ini juga menjadi penyelesaian kepada isu kelewatan pembinaan sekolah yang sering berlaku, kerana kelewatan tersebut memberi implikasi besar terhadap sektor pendidikan.
Kelmarin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif Kementerian Pendidikan yang dilaksanakan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek sekolah berkonsepkan IBS menunjukkan hasil positif apabila berjaya disiapkan dalam tempoh singkat.
Beliau dilaporkan berkata, penggunaan IBS mampu mempercepatkan pembinaan sekolah baharu dan menjimatkan kos, sambil memastikan murid dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran mengikut jadual yang ditetapkan.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, perancangan pembinaan sekolah di kawasan perumahan baharu perlu mengambil kira keperluan pelajar termasuk kemudahan dan keselamatan pengangkutan.
“IBS adalah kaedah baharu membina bangunan dengan cepat menggunakan bahan binaan mudah dan ringkas. Namun, ini adalah perancangan jangka pendek.
“Sekolah baharu juga perlu dilengkapi infrastruktur lengkap seperti bilik darjah, makmal sains, makmal komputer, kantin, pusat sumber, gelanggang dan padang permainan,” jelasnya.
Beliau menambah, gabungan teknologi IBS dan perancangan infrastruktur lengkap akan memastikan sekolah baharu bukan sahaja cepat dibina tetapi memenuhi keperluan pendidikan generasi masa depan, seterusnya menyokong usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh negara. –UTUSAN











