SEPANG: Bekas isteri kepada penyanyi, Ahmad Nubhan, iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mengakui memikul amanah besar sebagai ibu tunggal dalam membesarkan tiga anak mereka selepas perceraian mereka disahkan pihak mahkamah.
Dr. Afifah atau lebih dikenali sebagai Dr. Fie berkata, meskipun perjalanan sebagai ibu tunggal bukanlah mudah, dia bersyukur kerana masih dikelilingi keluarga yang menjadi benteng sokongan utama.
“Walaupun kami sudah berpisah, tanggungjawab terhadap anak-anak tetap saya pikul sepenuhnya. Saya bertuah kerana keluarga, terutama ayah, sentiasa menjadi sumber sokongan moral.
“Memang banyak cabaran sebagai ibu tunggal. Namun saya sudah lama bergaul dengan ramai ibu tunggal lain, jadi saya belajar sedikit demi sedikit cara menguruskan keluarga sendiri.
“Sebelum ini ada sokongan suami, sekarang semuanya perlu dilakukan sendiri,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Dalam masa sama, Dr. Fie menjelaskan kerjaya profesionalnya sebagai pengamal perubatan tidak terjejas meskipun melalui fasa peralihan hidup.
“Setakat ini, saya masih bertugas seperti biasa di Klinik Lantara di Seremban. Tiada sebarang gangguan terhadap operasi klinik.
“Dalam masa sama, saya juga ada bekerja di luar apabila diperlukan,” jelasnya.
Sementara itu, mahkamah hari ini mengesahkan lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah oleh Nubhan pada 26 Ogos lalu sebagai sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Keputusan itu disampaikan Hakim Umamuddin Yunus selepas meneliti semua keterangan berkaitan.
Untuk rekod, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3.-UTUSAN











