PETALING JAYA: Pempengaruh, Nedim Nazri mencuri perhatian ramai apabila memuat naik sekeping gambar bersama pelakon, Nadia Brian di media sosial, malam tadi.
Menerusi hantaran tersebut, Nedim yang juga bekas suami kepada pelakon Nora Danish dilihat mesra duduk bersebelahan Nadia di sebuah restoran mewah, sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.
“Serpihan kecil hatiku hidup di sini,” tulis Nedim pada ruangan kapsyen, yang menguatkan lagi spekulasi bahawa hubungan mereka mungkin lebih daripada sekadar rakan.
Tidak hanya itu, Nadia turut berkongsi foto bersama Nedim di akaun media sosialnya dengan latar lagu Favourite Thing nyanyian Yuna.
Lebih menarik, bekas isteri Nedim, Nora Danish turut memberikan tanda suka pada hantaran tersebut, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat dilihat merestui hubungan mereka dan mendoakan agar ikatan yang terjalin berkekalan.
“Sama cantik sama padan, semoga sampai ke fasa lebih serius,” tulis seorang peminat.
“Cantiknya Nadia, tahniah,” komen seorang pengguna lain.
“Lulus, ketua. Kami restu,” tulis seorang lagi peminat. -UTUSAN










