PETALING JAYA: Pelakon, Zizie Ezette, 47, mengakui hatinya hancur setiap kali melihat anak-anaknya bersedih kerana merindu bapa mereka, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia awal Disember lalu.
Kata Zizie, dia mendengar tangisan anak-anaknya di tengah malam ketika semua sedang tidur.
“Saya tak berniat minta simpati, sekadar ingin berkongsi kerana saya seorang yang agak privasi, jarang bercakap tentang perasaan dan apa yang saya lalui.
“Semuanya bermula dengan Aadam. Ketika semua sedang tidur, saya terdengar suara orang menangis teresak-esak.
“Bila saya tanya, dia kata sakit kepala. Tapi saya tahu sebenarnya dia rindu ayahnya,” kongsi Zizie menerusi hantaran di Instagram Story.
Tambah Zizie, perkara itu tidak hanya ditunjukkan Aadam, Malah juga anaknya yang lain termasuklah, Aaleph.
“Saya pergi dekat Aaleph, peluk rapat. Bila saya tanya kenapa, dia bisik ‘Aaleph rindu Daddy’ lepas itu menangis teresak-esak.
“Sama juga Aalisa, ketika dia sedang berlatih lagu ‘Count On Me’ di sekolah, tiba-tiba air matanya mengalir.
“Guru perasan dia menjadi pendiam, balik rumah dia kata ‘Aalisa sedih sebab teringat Daddy’,” katanya.
Kerinduan itu turut dikongsikan anaknya yang lain seperti Jenna dan Aaric.
Walaupun dibesarkan sebagai seorang wanita yang kuat, Zizie mengakui tidak mudah untuknya mengendalikan perasaan sayu setiap kali melihat wajah sugul anak-anaknya.
“Saya tahu saya seorang wanita yang kuat, tetapi mendengar anak-anak menanggung kesedihan dengan suara sekecil itu, hati saya macam hancur.
“Namun, saya tetap peluk mereka dan mencintai mereka sepanjang tempoh mencabar ini dan percaya mereka akan baik-baik sahaja.
“Kami tidak berputus asa. Kami cuma sedang belajar bagaimana rindu tapi pada masa yang sama terus melangkah kehadapan,” jelasnya.
Terdahulu, Zizie memadam semua gambar di akaun Instagramnya, dipercayai sebagai proses melalui tempoh berkabung.
Allahyarham Bung Moktar yang disahkan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kota Kinabalu Sabah.
Pasangan itu berkahwin pada 2009 dan dikurniakan empat anak. – UTUSAN










