PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pelupusan bahan terjadual secara haram di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.
EAIC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan terhadap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Ibu Pejabat dan JAS Negeri Sembilan melibatkan tindakan terhadap kes tersebut yang dibongkar pada 2024
“EAIC telah selesai menjalankan siasatan ke atas aduan tersebut dan memutuskan untuk merujuk hasil siasatan dan syor kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).
“Ini termasuk merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Pengarah JAS dan Pihak Berkuasa Tataterib (PBT) JAS untuk tindakan tatatertib diambil terhadap Pegawai-Pegawai JAS Ibu Pejabat dan JAS Negeri Sembilan yang terlibat,” katanya hari ini.
EAIC berkata, hasil siasatan ini akan dimaklumkan kepada umum dalam tempoh masa terdekat selepas dipanjangkan kepada SPRM. – UTUSAN










