KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak menafikan terdapat tiga peratus projek di bawah kelolaannya dikenal pasti sebagai ‘sakit’ dan lewat daripada jadual asal pembinaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya tetap memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan meskipun hanya sebilangan kecil projek mengalami kelewatan.
Katanya, tumpuan diberikan menerusi jadual khas dibuat oleh Ketua Setiausaha (KSU) KKR bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung projek yang dijalankan.
“Kita tidak menafikan ada projek lewat, projek bermasalah atau projek ‘sakit’. Berdasarkan kita punya maklumat, hanya tiga peratus sahaja daripada keseluruhan projek yang kita laksanakan tergolong dalam kategori itu dan jumlahnya bukanlah banyak sangat.
“Ada juga projek yang siap setahun lebih awal, tetapi kurang mendapat perhatian. Sebenarnya, kebanyakan projek kita siap awal atau tepat pada masanya. Hanya tiga peratus itu sahaja yang bermasalah. Walaupun angkanya kecil, kita tetap menumpukan perhatian dan sebab itulah KSU buat jadual khas untuk kita pantau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Siri Jelajah ITS Korea-Malaysia 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Alexander berkata, jadual khas itu bertujuan memastikan pihak kontraktor mengikut tatakelola yang ditetapkan.
Katanya, antara punca kelewatan projek adalah melibatkan elemen dalam proses kerja awal.
“Punca projek sakit ini mungkin kerana tapak ada masalah dan bukan diurus satu agensi sahaja. Ia melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PTB) serta agensi-agensi lain.
“Kalau kita nak bina jalan, kita kena alihkan utiliti sedia ada untuk lebarkan jalan itu dan ia memerlukan kerjasama daripada agensi serta pihak-pihak yang mempunyai utiliti terbabit.
“Memang kita akui banyak projek bermasalah kerana pengurusan atau kelemahan kewangan syarikat itu sendiri. Jadi ia pelbagai, kita tak boleh nak rangkum satu alasan sahaja. Sebab itu kita kena urus dengan terbaik,” katanya.










