PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyerahkan sepucuk surat sepanjang lima muka surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berisi 10 cadangan disifatkannya sebagai perkara penting nasional.
Ahli Parlimen Bagan itu menekankan beberapa isu yang sebelum ini telah beliau kemukakan termasuk 10 peratus peruntukan khusus kepada bukan bumiputera berbanding peruntukan sedia ada serta mendesak tuntutan 40 peratus hasil Sabah diselesaikan segera.
Guan Eng turut mencadangkan Perdana Menteri mengkaji pengecualian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelaksanaan e-invois dan sebagai langkah sementara kerajaan perlu menaikkan nilai ambang hasil tahunan perniagaan kepada RM5 juta.
“Perkara ini perlu disegerakan kerana peraturan e-invois akan dikuatkuasakan ke atas perniagaan dengan hasil tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta mulai Januari 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan menggesa kerajaan mengkaji semula atau membekukan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana peluasan yang bermula 1 Julai lalu telah menambah beban kos kepada perniagaan khususnya PKS.
Beliau juga mencadangkan kerajaan menghentikan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing kerana dianggap membebankan.
Guan Eng turut berkata, cukai dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 hanya perlu dikenakan ke atas syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Guan Eng meminta kerajaan memperuntukkan RM20 bilion bagi bayaran cukai tertunggak pada Januari 2026 agar diselesaikan segera.
Selain itu, beliau juga meminta memansuhkan penalti RM10,000 kepada majikan yang gagal memaklumkan kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana ia membebankan.
Beliau mencadangkan kerajaan mewajibkan 50 peratus barangan keperluan diperoleh daripada pengeluar tempatan, mengenakan 10 peratus SST ke atas bijih besi import dan tempatan, arang batu kok metalurgi serta memansuhkan SST ke atas sekerap keluli. – UTUSAN










