Bermula dengan membuka studio e-sukan menggunakan elaun Mara, seorang mahasiswa Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) membuktikan usia muda bukan penghalang untuk mencipta kejayaan dalam dunia keusahawanan apabila berjaya mengendalikan tiga perniagaan merangkumi sektor runcit, percetakan dan makanan serta minuman (F&B).
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Komputer, Muhammad Zarif Zaufri Omar, 24 berkata, perjalanan keusahawanannya bermula sejak di peringkat diploma apabila dia mengambil inisiatif membuka studio e-sukan di UPTM hasil sokongan MARA dan pihak universiti.
Namun sayangnya, akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara, perniagaan itu terpaksa ditutup. Daripada pengalaman tersebut, dia menggunakan modal dan keuntungan sedia ada untuk menceburi dunia percetakan serta e-dagang.
“Selepas menyambung pengajian di peringkat ijazah, saya mengambil langkah berani membuka kedai runcit pertama di Central i-City, Shah Alam yang dikenali sebagai Ani-More, berkonsepkan Jepun dan anime.
“Perniagaan semakin berkembang apabila perniagaan pencetakkan saya, STP Printing menerima banyak tempahan percetakan pakaian daripada universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPTM di Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini
Pada waktu yang sama, dia yang juga penerima Anugerah Kokurikulum UPTM, turut mencabar diri menceburi sektor F&B dengan menubuhkan sebuah jenama minuman matcha yang diberi nama Zentcha sewaktu menjalani latihan industri.
“Walaupun berdepan dengan kekangan masa, saya dapat atasi masalah itu hasil sokongan rakan kongsi saya, Danish Teoh,” katanya.
Mengulas pencapaian tertinggi dalam bidang perniagaan, Zarif berkata, ketiga-tiga perniagaannya pernah mencatatkan jualan enam angka dalam tempoh sebulan. Menurutnya, hasil pendapatan tersebut digunakan bagi menampung yuran pengajian serta mengembangkan perniagaan, selain meringankan beban ibu bapanya.
“Sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya sedar perlu bekerja sendiri. Saya kurang berbelanja untuk diri sendiri, sebaliknya lebih banyak melabur dalam perniagaan baharu serta pengembaraan secara solo,” ujarnya. – UTUSAN










