CYBERJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah mengarahkan semua agensi untuk menjalin kerjasama pintar bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi kesedaran terhadap risiko pelaburan tidak sah.
Beliau berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap bilangan penjawat awam yang terperangkap dalam keberhutangan melampau, termasuk menjadi mangsa penipuan pelaburan
Shamsul Azri yang juga Pengerusi Lembaga Tatatertib menjelaskan, isu itu dikenal pasti antara aduan tertinggi melibatkan penjawat awam, khususnya golongan guru.
“Saya juga minta Ketua Pengarah Pendidikan untuk di setiap sekolah wajib buat program dengan AKPK, saya wajibkan semua sekolah untuk buat, sebab kadang kala mereka ini tak faham.
“Kebanyakan penjawat awam fikir apabila mereka pinjam (dan) buat pelaburan, mereka akan dapat pulangan, sebenarnya bukan begitu, semua pelaburan ada risiko tersendiri, bila kita tak faham risiko, itu susah, payah nak berjaya dalam pelaburan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pengguna MRT di Stesen Cyberjaya City Centre dan Stesen Putrajaya Sentral, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor yang dikesan menjadi punca penjawat awam terjerumus ke dalam masalah kewangan adalah tekanan hidup dan menuruti kehendak pasangan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata, ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri perlu memberi perhatian terhadap hutang ditanggung pegawai di bawah seliaan mereka.
Katanya, ia bagi mengelakkan penjawat awam terjerumus dalam masalah keterhutangan tinggi melebihi kemampuan untuk membuat bayaran balik. – UTUSAN










