Gempur Masjid Jamek, 31 PATI ditahan Imigresen Kuala Lumpur

Gempur Masjid Jamek, 31 PATI ditahan Imigresen Kuala Lumpur

ANTARA pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai warganegara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar kawasan Masjid Jamek, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai warganegara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar kawasan Masjid Jamek, di sini, malam tadi.

Operasi yang dinamakan Op Kutip itu bermula 7.20 malam dengan kekuatan 25 pegawai imigresen dan pemeriksaan tertumpu di sekitar Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pemeriksaan secara rambang dilakukan terhadap warga asing yang turun dari perkhidmatan LRT serta mereka yang berada di setiap penjuru jalan di kawasan berkenaan.

“Seramai 60 individu telah diperiksa dalam operasi tersebut dan 31 daripada mereka yang terdiri daripada 28 lelaki dan tiga wanita ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, warganegara Bangladesh mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 11 orang, diikuti India (lapan), Pakistan (tujuh), Indonesia (tiga) serta masing-masing seorang dari Sudan dan Filipina.

“Seramai lima individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, manakala selebihnya ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah,” jelasnya.

Katanya, kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN