BAGAN DATUK: Sudah lebih dua minggu beberapa buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di sini berdepan masalah ‘banjir termenung’
Keadaan itu menambahkan lagi keresahan penduduk terlibat berikutan ramalan kemungkinan berlaku pula gelombang kedua banjir.
Bagi penduduk Kampung Sungai Tiang Darat, Noornahar Bahaudin, 60, dia masih trauma dengan kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini apabila rumahnya dinaiki air hampir dua meter.
“Saya dan keluarga tinggal di sini sejak kecil, tapi ini banjir paling teruk pernah kami lalui. Tahun 1980-an, kemudian tahun 2010 dan 2014 memang pernah banjir, tetapi kali ini paling dahsyat.
“Perabot dan barangan elektrik semua rosak dipenuhi lumpur. Sampai sekarang saya tak beli baharu sebab tahu banjir boleh berlaku bila-bila masa, rumah kami pula dekat dengan sungai dan laut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Katanya lagi, mendengar ramalan kemungkinan gelombang kedua banjir menyebabkan dia sukar tidur malam kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.
“Sebelum ini banjir hanya kena kawasan rendah dan rumah kampung, tetapi sekarang tempat tinggi pun ditenggelami air. Rumah bertiang pun sudah tidak selamat,” katanya.
Seorang peniaga, Amran Ahmad Tarmizi, 63, berkata, dia sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca kerana kedai makan yang juga rumahnya terletak kurang satu kilometer dari Jeti Bagan Datuk di sini.
“Kawasan Waterfront Bagan Datuk pernah dinaiki air waktu subuh pada 2014 sampai ke paras dataran. Itu pengalaman yang cukup menakutkan.
“Walaupun rumah kedai kami agak tinggi, risiko tetap ada. Jadi peti ais dan barang penting saya sudah naikkan ke tempat lebih selamat sebagai persediaan gelombang kedua,” ujarnya.
Bagi petani, Ismail Harun, 63, ancaman banjir bukan sekadar menjejaskan kemudahan harian, malah memusnahkan sumber rezeki.
Kebunnya yang terletak 200 meter dari Sungai Belukang Selekoh menjadi antara kawasan awal yang dinaiki air. – UTUSAN










