GEORGE TOWN: Pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang disifatkannya sebagai undang-undang drakonian atau zalim perlu digantung sehingga reformasi menyeluruh dibentang dan diluluskan di Parlimen.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, gesaan itu dibuat susulan beberapa insiden terbaharu menunjukkan penyalahgunaan undang-undang tersebut khususnya dalam kes melibatkan seorang lelaki, R.Gobinath serta lapan lagi lelaki yang menjadi contoh paling jelas kelemahan pelaksanaan SOSMA.
Katanya, Gobinath ditahan polis pada 27 November lalu dibawa ke Mahkamah Kulim, Mahkamah Sungai Petani dan Mahkamah Alor Setar di Kedah, namun permohonan reman polis ditolak di ketiga-tiga mahkamah selepas hujahan peguam menunjukkan tiada asas kukuh untuk menahan suspek.
“Bagaimanapun, selepas permohonan reman ditolak, Gobinath kemudian ditahan semula di bawah SOSMA dan ia adalah sesuatu yang disifatkan sebagai penyalahgunaan kuasa dan tindakan bertentangan dengan prosedur keadilan jenayah.
“Ini merupakan satu penyalahgunaan yang sangat jelas. Apabila tidak mendapat reman di mahkamah, mereka guna SOSMA untuk tahan 28 hari. Ini tidak wajar dan sangat tidak adil,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh sembilan keluarga mangsa tahanan SOSMA di Wisma DAP di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu ketika membahaskan penyata Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhubung cadangan pindaan terhadap SOSMA.
Rayer berkata, peruntukan SOSMA memberi kuasa terlalu luas kepada polis termasuk untuk menahan seseorang sehingga 28 hari tanpa perintah mahkamah dan ini membuka ruang besar kepada kemungkinan salah guna kuasa.
Katanya, ia jelas satu undang-undang drakonian dan bertentangan dengan reformasi dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini lantang menentang peruntukan SOSMA.
Beliau merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo untuk membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Kabinet minggu depan bagi memastikan reformasi SOSMA dilaksanakan segera.
“Cukuplah SOSMA sedang disalahgunakan ketika ini. Saya merayu kerajaan sendiri supaya menggantung penggunaan SOSMA sehingga reformasi dibahas dan diluluskan di Parlimen,” ujar beliau. – UTUSAN










