KUALA LUMPUR: Dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Ekonomi wajar digabung bagi mengurangkan pembaziran perbelanjaan negara sekali gus mengelakkan pertindihan fungsi.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, penggabungan itu perlu dilakukan memandangkan fungsi kedua-dua kementerian itu sudah lama bertindih.
Beliau berkata, langkah ini juga dilihat mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan melibatkan gaji menteri, timbalan menteri serta lantikan politik.
“Penyatuan ini turut dijangka mampu mewujudkan hala tuju ekonomi yang lebih bersepadu, merapatkan jurang antara perancangan dan pembiayaan serta mempercepat proses membuat keputusan dasar yang sebelum ini sering terhalang oleh birokrasi dua kementerian berlainan.
“Langkah tersebut bukan sahaja memberi penjimatan melalui pengurangan lantikan politik, malah dapat menghapuskan pertindihan struktur yang membebankan pentadbiran kerajaan selama ini.
“Sekiranya dilaksanakan, penyatuan kementerian dilihat sebagai isyarat serius kerajaan terhadap disiplin fiskal dan reformasi pentadbiran, terutama ketika negara berdepan tekanan kos sara hidup dan keperluan meningkatkan daya saing ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Awang Pawi berkata, rombakan kabinet memerlukan keseimbangan antara konsultasi politik dan kuasa prerogatif Perdana Menteri.
“Walaupun Perlembagaan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melantik atau menggugurkan menteri, stabiliti politik Kerajaan Perpaduan menuntut rundingan bersama ketua-ketua parti komponen.
“Kerusi dan kuota kementerian adalah hasil persetujuan awal. Sebarang perubahan tanpa rundingan boleh mencetuskan ketegangan dalam kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN










