KUALA LUMPUR: Ahli kumpulan UNIC, Dr. Fitri Haris, 41, menegaskan tindakannya berkongsi pengalaman diganggu lelaki songsang berstatus ustaz dan Datuk bukan untuk menimbulkan sensasi.
Sebaliknya, pemilik nama penuh Mohamad Fitri Mohamad Haris itu memaklumkan perkongsian itu dibuat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai gejala tersebut.
“Saya berkongsi pengalaman itu bukan untuk viral sebaliknya untuk mempertahankan diri.
“Saya harap cara itu dapat memberi kesedaran kepada pelaku yang pernah menghantar mesej keterlaluan.
“Tiada salahnya saya berkongsi pengalaman kerana setidaknya ia menyedarkan masyarakat dan mangsa untuk bersuara,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Countdown KITA 2026 di Astro Bukit Jalil, semalam.
Fitri sebelum ini mendedahkan pernah diganggu seorang ustaz dan individu bergelar Datuk yang bernafsu kepada kaum sejenis.
Menurutnya, individu terbabit turut menghantar soalan berbaur lucah sebelum mengirim gambar tidak senonoh.
Fitri dalam masa yang sama mendedahkan sehingga kini menerima gangguan yang sama.
“Lebih mengejutkan apabila gangguan seperti tak berakhir selepas saya berkongsi pengalaman di media sosial.
“Ada yang memberi amaran, mengugut, mencarut, cuba mengorat saya dan menghantar mesej lucah.
“Memang ini sangat berani,” ujarnya.
Fitri bagaimanapun memaklumkan tidak merancang untuk mendedahkan identiti pelaku selagi gangguan tidak berlaku secara fizikal.
“Tiada keperluan untuk saya dedahkan identiti mereka kerana itu antara saya dengan individu terbabit. Bahkan, perkara ini aib, mungkin keluarganya tidak tahu atau dia tersalah langkah dan ada peluang untuk berubah.
“Selagi dia tidak melakukan gangguan fizikal, saya rasa cukup sekadar saya memberi amaran. Tapi jika keterlaluan, saya akan laporkan kepada polis,” jelasnya. – UTUSAN










