SEDEKAD lalu, hanya dengan filem debut, pengarah, Sun-J Perumal menggoncang dunia perfileman tanah air dengan naskhah Jagat, filem pertama bahasa Tamil yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-28. Kemunculan kembali Sun-J dengan naskhah Macai sebelum menutup 2025 semestinya menjadi antara yang paling ditunggu penggiat seni dan penyokong sinema tanah air.
Sun-J tidak mengikat diri dengan kejayaan lalu, beliau tidak menunggang Jagat dengan membina sebuah sekuel, walau sebenarnya beliau boleh berbuat demikian. Sun-J bagaimanapun membina sebuah semesta atau ‘multiverse’ Jagat yang menampilkan tiga filem iaitu Jagat, Macai dan filem ketiga yang bakal tiba pada bulan hadapan iaitu Blues.
Macai yang diarahkan, diterbitkan dan ditulis Sun-J sendiri menunjukkan sisi kematangan SunJ terutama dalam gayanya bercerita menggabungkan thriller, road movie, komedi dan surealisme dalam sebuah filem. Macai juga menunjukkan SunJ mengambil kira kritikan jagat khususnya membabitkan teknikal yang diperbaiki lebih baik di filem kedua.
“Ramai cadangkan kepada saya supaya buat sekuel Jagat. Tapi bila saya lihat kembali, untuk lakukan itu saya perlu ambil kira situasi di zaman 90-an.
“Dalam Macai, saya menekankan tentang isu pengedaran dan penggunaan dadah bukan sahaja di kalangan remaja, tetapi di kalangan profesional termasuk pemandu lori. Kita juga boleh lihat bagaimana keldai-keldai ditangkap di sempadan Johor dan Singapura. Bagaimana dadah merosakkan komuniti.
“Tapi saya tidak mahu menyampaikan cerita ini dengan cara neorealism yang digunakan dalam Jagat. Saya cabar diri untuk beri kritik sosial pada masa sama menjadikan diri saya seorang pengarah berkaliber,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bercerita lanjut mengenai pendekatannya dalam membina dunia Macai, Sun-J menggunakan surrealism dengan stylized realism iaitu gaya penceritaan dan visual yang kelihatan realistik.
“Ketika menceritakan tentang isu ini, saya tidak tahu secara keseluruhan ‘dunia’ ini walau saya boleh buat kajian untuk faham. Jadi, saya pinjam karakter dan insiden yang ada dalam dunia ini untuk jadikan cerita saya dalam Macai.
“Untuk Macai, saya ingin menjadi storyteller bermain dengan genre bending (melanggar aturan genre). Sebab kalau kita lihat dalam Macai ada thriller, stoner comedy dan surrealism. Jadi, saya ingin gabungkan kesemua ini dan cipta satu filem yang lancar,” katanya.
Eksplorasi emosi dan pemikiran lelaki Tamil
Tambah Pengarah Harapan, FFM28 itu lagi, pengalaman menghasilkan filem sebenarnya bersifat begitu peribadi kerana Sun-J ibarat mengeksplorasi emosi dan jiwa lelaki Tamil dalam setiap karakter yang ditulisnya.
“Dalam ketiga-tiga filem saya, saya ingin mendalami psike lelaki Tamil yang saya kenal. Dalam tidak sedar, saya seperti menilai semula diri sendiri, kawan-kawan, keluarga.
Saya ingin kenal apa kelemahan, kelebihan karakter ini menerusi watak-watak yang saya tulis dalam ketiga-tiga filem ini.
“Maksud saya, saya kenal impian, keinginan, kekecewaan yang dibesarkan oleh komuniti dalam sesetengah karakter. Saya selami kegelapan, kelemahan dan kelebihan tanpa sifat mengejek. Sekadar ingin tahu kerana dari situ kita boleh perbaiki.
“Filem saya memiliki nuansa yang gelap. Tapi saya selalu percaya untuk kita mendekati cahaya, kita kena dan terpaksa melalui kegelapan. Itulah prinsip saya semasa menulis karakter dalam dunia filem saya,” katanya.
Terdahulu, Macai menemui penonton Malaysia bermula 13 November lalu.
Macai mengisahkan seorang pengedar dadah yang terdesak membayar hutang RM30,000 kepada kartel selepas kehilangan barang berharga miliknya.
Sebelum tayangan umum, Macai terlebih dahulu dipilih ke beberapa festival filem antarabangsa termasuk di Rotterdam, Jepun, Vietnam dan India.










