EV Perodua pencetus anak muda teroka teknologi baharu

EV Perodua pencetus anak muda teroka teknologi baharu

ANWAR (dua, kanan) bersama Presiden Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad (tengah) bergambar bersama Perodua QV-E selepas melakukan gimik Majlis Peluncuran Kenderaan Elektrik (EV) Pertama Perodua di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kiri). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejayaan Perodua menghasilkan kenderaan elektrik (EV) buatan Malaysia pertama mampu menjadi pencetus semangat kepada golongan muda untuk menceburi pembangunan teknologi baharu dalam inovasi automotif negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan ditunjukkan Perodua ketika ini wajar dijadikan galakan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk meneroka disiplin teknologi baharu, selaras dengan usaha Malaysia memperkukuh ekosistem mobiliti masa depan.

Menurutnya, mesej serta pencapaian Perodua perlu dibawa dan disampaikan kepada semua IPT di seluruh negara sebagai pendedahan kepada potensi besar bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) sekiranya diberikan tumpuan serta kesungguhan.

“Harapan kita sangat tinggi supaya pengalaman Perodua menjadi dorongan kepada anak-anak muda untuk melihat potensi yang ada bagi mereka meneroka dalam penyelidikan teknologi baharu.

“Kita memohon sedikit ruang untuk pihak pengurusan Perodua membawa kisah kejayaan dan usaha mereka ke kilang serta institusi pendidikan sebagai langkah menyuntik motivasi kepada pelajar dan bakal tenaga kerja industri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kenderaan Pertama EV Perodua di Menara MITI, di sini hari ini.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja mampu memberi pendedahan awal kepada generasi muda, malah membantu memartabatkan pembangunan kenderaan tempatan ke tahap lebih tinggi.

“Perodua mahu mengajak dan berkongsi pengalaman ini bagi memberi semangat kepada anak muda untuk bersama mengangkat martabat industri automotif negara, terutama dalam era peralihan kepada EV,” katanya.

Perodua melancarkan kenderaan elektrik (EV) buatan Malaysia pertama, QV-E pada harga RM80,000, tidak termasuk insurans dan bateri, sebagai sebahagian daripada agenda nasional negara dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan.

QV-E, bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua iaitu Smart Mobility Plant.

QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dan mempunyai kapasiti julat sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada cara pemanduan,suhu dan keadaan jalan.

Pada masa ini, kami boleh mengeluarkan 500 unit kenderaan sebulan, tetapi kami akan menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga tahun 2026.

Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 1 September 2023, Perodua dilantik sebagai juara dan peneraju pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem EV.

Perodua menjalin kerjasama secara agresif dengan vendor tempatan untuk membekalkan 50 peratus komponen menjelang awal tahun 2026 dan meningkatkannya kepada 70 peratus menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×