Empat warga Indonesia dipenjara 15 bulan ceroboh, curi di pelantar

Empat warga Indonesia dipenjara 15 bulan ceroboh, curi di pelantar

EMPAT  warga Indonesia di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, hari ni menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan ke atas empat warga IndonesiA selepas mengaku bersalah atas dua kesalahan iaitu mencuri kabel dan menceroboh Pelantar Pulai-A di perairan Malaysia, dari 31 Oktober hingga 2 November lalu.

Hukuman dijatuhkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, Syarifuddin Syafai.

Mengikut pertuduhan pertama, Lufi Haryadi, 27; Jahri Bakar, 54; Rafai Pang Itam, 62; dan Sapri Abuzal, 43, didapati mencuri 22 gulung kabel milik pelantar berkenaan antara pukul 10.25 pagi, 31 Oktober hingga 10.30 pagi, 2 November 2025.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan bagi pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didapati berada di kawasan larangan iaitu di atas Pelantar Pulai-A tanpa kebenaran pemilik antara tarikh dan masa sama. 

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan itu, namun memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara serentak menjadikan tempoh keseluruhan 15 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Unit Pendakwaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×