TANAH MERAH: Emosi anak lelaki kepada wanita yang dipercayai mati dibunuh suaminuya menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini semalam, semakin baik dan sudah mula bercakap dengan saudara-maranya lain.
Kanak-kanak berusia 10 tahun yang merupakan pelajar orang kurang upaya (OKU) lembam itu dikatakan sempat melihat keadaan ibunya selepas bapanya membawanya pulang ke rumah dari sekolah.
Selepas itu, bapa kanak-kanak berkenaan tampil ke balai polis untuk menyerahkan diri dan mengaku telah membunuh isterinya.
Adik Allahyarham Mastura Abdullah iaitu Ahmad Hafizan, 22, berkata, emosi anak saudaranya itu semakin baik dan sudah mula bercakap dengan saudara mara lain.
“Kakaknya yang berusia 12 tahun pula sudah ke sekolah seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Hafizan berkata, berkemungkinan besar dua kanak-kanak itu dijaga oleh nenek saudara atau kakak kandung mereka.
Katanya, bagaimanapun perkara tersebut masih perbincangan pihak keluarga.
“Alhamdulillah dua anak saudara ini mempunyai kakak tiri yang baik dan sentiasa mengambil berat tentang mereka.
“Malah, nenek saudara mereka juga memang sudah biasa menguruskan dua beradik berkenaan selama ini termasuk mengambil di sekolah memandangkan abang ipar dan kakak saya bekerja sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN









