Draf Akta Koperasi baharu dibentang mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat

Draf Akta Koperasi baharu dibentang mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Draf Akta Koperasi baharu yang bakal menggantikan Akta Koperasi 1993 kini berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Pemangku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, akta baharu itu dirangka secara lebih menyeluruh, bukan sekadar pindaan terhadap akta sedia ada yang telah beberapa kali diubah tetapi tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa gerakan koperasi negara.

Menurut beliau, pihak kementerian juga berada dalam fasa akhir menyiapkan draf akta berkenaan dan hanya menunggu proses edaran kepada kementerian-kementerian berkaitan bagi mendapatkan ulasan sebelum dibawa ke Kabinet sebagai Memorandum Jemaah Menteri (MJM).

“Saya telah diberikan taklimat dan dimaklumkan bahawa ini merupakan satu usaha besar yang perlu dilaksanakan. Akta Koperasi 1993 sudah terlalu lama, telah beberapa kali dipinda, namun tidak lagi dapat menampung keperluan dan objektif koperasi masa kini.

“Sebab itu kita akan perkenalkan akta baharu yang lebih menyeluruh dan bersesuaian dengan cabaran serta realiti semasa,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini hari ini.

Sebelum ini KUSKOP menyasarkan pewartaan Akta Koperasi baharu menggantikan Akta Koperasi 1993 pada Jun 2026 sebelum dikuatkuasakan pada November atau Disember tahun yang sama.

Bekas menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sudah menjalankan 23 sesi libat urus membabitkan penyertaan 47 agensi kerajaan, koperasi premier, persekutuan, ANGKASA, universiti tempatan, koperasi dan anggota pentadbiran serta kerajaan negeri Sabah, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Sarawak.

Akta Koperasi 1993 akan dipinda membabitkan 96 peruntukan asal yang akan disusun semula dan ditambah baik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN