Dr. Mahathir dakwa Anwar tandatangan ART dengan AS tanpa prosedur sah

Dr. Mahathir dakwa Anwar tandatangan ART dengan AS tanpa prosedur sah

MAHATHIR Mohamad pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri berhubung ART antara Malaysia dengan AS di IPD Putrajaya, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan dakwaan kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini ditandatangani tanpa melalui prosedur sah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan dibuat Anwar itu dipercayai dibuat tanpa mandat penuh daripada pihak yang sepatutnya mewakili Persekutuan Malaysia.

“Saya sudah buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini supaya satu siasatan dibuat terhadap Anwar.

“Perjanjian itu sebenarnya tidak sah kerana beliau (Anwar) bukan seorang sahaja yang mewakili Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di IPD Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya perjanjian itu memerlukan persetujuan empat bahagian termasuk Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja dan badan eksekutif (kerajaan).

Dr Mahathir berkata, persetujuan empat bahagian itu bagaimanapun tidak dilakukan sekali gus menjadi suatu kesalahan.

Dalam pada itu, beliau mendakwa dokumen perjanjian itu sebenarnya mengandungi 400 muka surat namun, ia tidak pernah didedahkan kepada orang awam.

“Terdapat banyak klausa yang menyebut bahawa kuasa negara kita sudah diserah kepada AS di mana apa juga yang kita lakukan mesti dirujuk kepada AS dan mereka (AS) pula yang menentukan sama ada boleh atau tidak dilakukan,” katanya.

Mengulas mengenai status dan kedudukan bumiputera dalam perjanjian itu, Dr Mahathir menjelaskan, perkara itu tidak disebut secara langsung.

“Dalam perjanjian ini, segala keistimewaan bumiputera tidak boleh dikenakan kepada barangan atau dagangan AS.

“Maksudnya, kuasa AS sudah sampai ke tahap menindakkan kuasa istimewa bumiputera, dan apa jua layanan kepada bumiputera mesti turut diberi kepada Amerika Syarikat.

“Sebab itu kita kata bahawa Amerika Syarikat sekarang sudah dapat status bumiputera,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau mahu pihak polis menyiasat Anwar sama ada beliau melanggar undang-undang negara, Perlembagaan, atau tidak.

Sementara itu, katanya, lebih 139 laporan polis telah dibuat oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara berhubung perkara sama.

ART yang ditandatangani Anwar dan Presiden AS, Donald Trump pada 26 Oktober lalu antara lain bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi kedua-dua negara, selain pelarasan tarif serta kerjasama Malaysia dan AS.

Bagaimanapun, beberapa pihak mengkritik perjanjian itu kerana dianggap merugikan negara, khususnya terkait hak bumiputera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN