Dividen ASB berpotensi cecah 6.0 sen seunit - Utusan Malaysia

Dividen ASB berpotensi cecah 6.0 sen seunit

DIVIDEN Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan 2025 dijangka lebih tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) berpotensi mencecah 6.0 sen seunit bagi tahun kewangan 2025, lebih kukuh berbanding 5.75 sen yang direkodkan pada tahun lalu, kata penganalisis.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar pengagihan dividen ASB dijangka sekitar 5.50 sen, manakala bonus mungkin mencapai sehingga 0.50 sen.

Katanya, kadar faedah, inflasi dan dasar monetari pada 2025 membolehkan aktiviti ekonomi mengembang dengan positif yang mempengaruhi pulangan ASB yang kompetitif.

“Prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor perbankan terutamanya akan menentukan kekuatan portfolio pelaburan ASB kerana Permodalan Nasional Berhad (PNB) merupakan antara pelabur utama dalam sektor kewangan.

“Risiko seperti ketidaktentuan pasaran global, konflik geopolitik, cuaca global akan berterusan memberi kesan ke atas prestasi ASB,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tahun lalu, PNB melalui syarikat pengurusan unit amanahnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan ASB sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Jumlah ini terdiri daripada agihan pendapatan 5.5 sen dan bonus 0.25 sen, menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM10.1 bilion, dengan pengagihan ini akan memberi manfaat kepada lebih 11.1 juta pemegang unit.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid mengunjurkan keseluruhan agihan dividen dan bonus ASB meningkat sebanyak 0.25 peratus kepada 6.0 sen seunit pada tahun kewangan 2025, selari dengan prestasi pasaran kewangan dan ekonomi negara.

Katanya, ekonomi yang baik terutama prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang mencapai 4.7 peratus bagi sembilan bulan pertama setelah mencatat 4.4 peratus bagi separuh tahun dan memberikan kejutan 5.2 peratus dalam suku ketiga 2025.

“Ekonomi negara dijangka mencapai 4.8 peratus bagi keseluruhan tahun 2025 atau lebih kerana prestasi pasaran eksport yang terus mencatat pertumbuhan diluar jangkaan.

“Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) juga tertinggi dalam beberapa tahun berikutan pelaburan skala besar projek-projek pusat data oleh syarikat multinasional (MNC) dunia di Malaysia turut menjadi faktor utama prestasi ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pengukuhan nilai ringgit yang merupakan antara yang terbaik di Asia menjadi petunjuk aliran dana masuk ke Malaysia terutama pasaran bon dan ekuiti negara.

Tambahnya, prestasi Bursa Malaysia kembali melebihI 1,600 mata juga menjadi penanda aras pasaran ekuiti semakin menarik perhatian para pengurus dana luar dan dalam negara.

“PNB yang menjadi pemegang saham utama beberapa kumpulan perbankan Malaysia dan pelbagai syarikat GLC mendapat faedah dari segi peningkatan keuntungan melalui dividen dan nilai saham.

“Ini meletakkan dana-dana milik PNB terutama ASB dijangka mendapat faedah berganda dari kedudukan positif ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan prestasi dividen ASB perlu bersifat realistik memandangkan pasaran saham domestik dilihat menghadapi cabaran yang agak tinggi untuk mencapai suatu pulangan yang lebih daripada tahun lalu.

Menurutnya, prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun dari awal tahun sebanyak 1.57 peratus, namun strategi pelaburan melalui kepelbagaian pendedahan portfolio dari segi geografi seharusnya mampu untuk meminimumkan kesan kelembapan pasaran domestik.

“Ini memandangkan pasasan saham luar negara terutama di benua Amerika, Eropah dan juga Asia telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN