PETALING JAYA: Pengumuman kadar dividen 15 peratus oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) mencerminkan prestasi kewangan yang stabil dan memberangsangkan dalam jangka pendek, namun ia tidak boleh dijadikan satu-satunya petunjuk kepada kemampanan ekonomi jangka panjang agensi berkenaan.
Bagaimanapun, pakar ekonomi berpandangan pengumuman dividen tersebut perlu disertakan dengan pendedahan jelas mengenai jumlah keuntungan sebenar Felcra serta peratusan keuntungan yang disalurkan sebagai dividen bagi memastikan tahap ketelusan dan mengekalkan keyakinan awam.
Ahli Tetap Institute of Big Data Analytics and Artificial Intelligence (IBDAAI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Abdul Rahim Ridzuan berkata, dividen tinggi itu menunjukkan keupayaan Felcra menjana lebihan operasi hasil pengurusan lebih berdisiplin, kawalan kos yang berkesan serta pemantauan rapi terhadap koperasi dan anak syarikatnya.
“Namun, dari sudut jangka panjang, kadar dividen yang tinggi tidak semestinya menjamin kemampanan berterusan.
“Kelestarian prestasi bergantung kepada keupayaan Felcra mengekalkan keuntungan secara konsisten serta memastikan pelaburan semula yang mencukupi bagi memperkukuh produktiviti dan daya saing,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Felcra mengumumkan kadar dividen bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan pada kadar 15 peratus dan dijangka dibayar pada awal tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar dividen itu mencerminkan keupayaan Felcra untuk mengekalkan keuntungan lebih berdisiplin dan pemantauan rapi bagi memastikan koperasi serta anak syarikatnya terus mencatat prestasi mampan tanpa ketirisan.
Mengulas impak kepada pembangunan ekonomi, Abdul Rahim berkata, dividen 15 peratus memberi manfaat langsung kepada peserta khususnya dalam meningkatkan pendapatan boleh guna dan membantu menangani tekanan kos sara hidup, terutama di kawasan luar bandar.
“Dalam jangka pendek, perbelanjaan peserta berpotensi merangsang aktiviti ekonomi setempat dan memberi kesan pengganda kepada perniagaan kecil. Namun, impak jangka panjang bergantung kepada bagaimana dividen itu dimanfaatkan,” katanya.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, pengumuman dividen 15 peratus tersebut perlu disertakan dengan pendedahan jelas mengenai jumlah keuntungan sebenar syarikat serta peratusan keuntungan yang disalurkan.
Katanya, maklumat terperinci itu penting bagi menilai sama ada dividen yang diagihkan benar-benar berpunca daripada keuntungan operasi atau disokong oleh sumber lain.
“Setakat ini tidak dinyatakan berapa sebenarnya keuntungan Felcra dan berapa banyak daripada keuntungan tersebut digunakan untuk pembayaran dividen.
“Kita perlu tahu sama ada dividen itu datang daripada untung bersih atau sumber lain kerana ia memberi gambaran sebenar tentang kekuatan kewangan Felcra,” katanya. – UTUSAN










