Didie Shazry bakal sertai konsert jelajah di Indonesia Januari depan - Utusan Malaysia

Didie Shazry bakal sertai konsert jelajah di Indonesia Januari depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Didie Shazry, 24, meluahkan rasa syukur apabila menjadi satu-satunya penyanyi Malaysia yang dipilih untuk menyertai sebuah konsert jelajah di Indonesia sekitar Januari depan.

Kata penyanyi kelahiran negeri di bawah bayu itu, dia tidak menyangka, hasrat untuk sepentas dengan penyanyi-penyanyi terkenal di Indonesia tercapai menerusi konsert tersebut.

“Saya sebenarnya gemuruh dan teruja kerana bakal sepentas dengan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Fajar Noor, Adikara Fardy, Nadhif Basalamah dan ramai lagi.

“Mereka ini penyanyi yang sudah ada nama berbanding saya yang baru berjinak-jinak dalam dunia muzik,” kongsinya.

Didie dalam masa yang sama turut memaklumkan bakal membuat kemunculan dalam sebuah konsert di Indonesia sekitar bulan Mei tahun depan.

“Saya pernah menyuarakan hasrat untuk membuat persembahan diiringi komposer terkenal, Andi Rianto ketika dia berada di Malaysia sekitar Julai lepas.

“Saya benar-benar tidak menyangka yang permintaan saya itu direalisasikan. Jadi selain mengikuti konsert jelajah di Indonesia pada Januari, saya juga akan terbang sekali lagi ke sana untuk membuat persembahan dengan Andi,” kongsinya.

Dalam pada itu, juara rancangan Raise The Star musim pertama itu juga memaklumkan bakal muncul dengan album sulung yang memuatkan sembilan lagu.

“Album ini dihasilkan dengan dana MyCreative. Kesemua sembilan lagu dicipta oleh saya sendiri dengan sebahagiannya dirakamkan di Indonesia.

“Insya-Allah, lagu-lagu yang dimuatkan semuanya bagus dan sesuai dengan halwa pendengar tempatan,” kongsinya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN