‘Dia kucup dahi, panggil saya sayang’ - Utusan Malaysia

‘Dia kucup dahi, panggil saya sayang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA sebab kenapa pelakon cantik, Ezzanie Jasny, sekarang ini lebih menjaga batas pergaulan dan enggan bersalaman dengan mana-mana pengarah, pelakon atau kru produksi lelaki di set penggambaran.

Itu prinsip yang dipeluk sekuatnya pelakon berusia 26 tahun berkenaan dalam memastikan pengalaman berdepan gangguan seksual di set penggambaran sebuah drama awal tahun ini, tidak berulang.
Tambah mengejutkan apabila tindakan tidak senonoh itu membabitkan seorang penggiat seni senior dikenali dan disegani.

Meskipun berkongsi pengalaman, Ezzanie enggan mendedahkan identiti individu ‘berhidung belang’ tersebut kerana baginya, aib tidak perlu dibuka. Dia percaya pengalaman sekadar perlu dikongsi untuk kebaikan bersama.

“Kejadian berlaku ketika proses pembikinan sebuah drama awal tahun ini. Antara tindakan paling berani individu itu adalah dia kucup dahi saya depan ramai orang selepas saya bergelut menjayakan sebuah babak pergaduhan dalam drama berkenaan.

“Saya juga jadi tidak selesa apabila dia kerap memanggil saya dengan panggilan sayang. Tindakannya itu amat mengejutkan tambahan dia seorang yang sudah berusia dan dihormati,” kongsinya.Bukan mudah memujuk Ezzanie untuk menceritakan pengalaman itu yang masih membekaskan trauma. Namun demi memberi teladan, bintang drama Impiana: Karma akhirnya rela untuk berkongsi cerita.

“Pengalaman ini membuka mata saya yang dahulunya, mudah mesra dengan semua orang. Namun saya tidak sangka, sikap tersebut disalah erti sehingga memberi ruang kepada orang lain mengambil kesempatan.

“Perkongsian ini diharapkan menjadi teladan kepada ramai pelakon perempuan, lebih-lebih lagi yang baharu. Pesanan saya, jagalah diri dan jangan terlalu mesra dengan lelaki. Jaga batas pergaulan.

“Saya pun sekarang ini berpada-pada bergaul di set penggambaran. Rasanya, tidaklah biadab kalau saya tolak bersalaman dengan mana-mana pengarah atau pelakon lelaki, cukuplah tunduk sebagai tanda hormat,” jelasnya.

TOLAK PUBLISITI MURAHAN

BUKAN mudah menjadi pelakon zaman sekarang apatah lagi wujud persaingan dek jumlahnya bak cendawan tumbuh selepas hujan. Jika ada yang sekadar mempertaruhkan rupa paras, maka perlulah mereka menilai semula hasrat masuk ke dunia seni.

Tapi kita tidak boleh menidakkan kuasa populariti. Terbukti, semakin terkenal seorang artis itu, semakin ramailah yang mengejar dan memburu mereka. Senang cerita, sekelip mata boleh jadi kaya. Asalkan ada nama. Maka, ramailah yang berlumba-lumba mengejar kemasyhuran. Sanggup mencipta kontroversi dengan cara apa sekalipun. Asalkan nama mereka terus meniti dibibir masyarakat.

Ezzanie, bagaimanapun antara sebilangan pelakon yang menolak popular dengan cerita panas dan sensasi meskipun telinganya sentiasa terpanah dengan bisikan orang tertentu yang mencadangkan kontroversi sebagai jalan pintas untuk menjadi terkenal.

“Saya mahu berada lama dalam dunia lakonan, sebab itu sebolehnya saya elakkan kontroversi. Biarlah nama saya bersih daripada cerita-cerita sensasi.

“Tidak dinafikan memang ada orang industri sendiri yang mencadangkan, cipta gimik dan kontroversi agar lebih dikenali masyarakat. Jawab saya, tidak mengapalah. Biarlah nama saya dikenali kerana kerja yang bagus.

“Saya tidak mampu berpura-pura, demi melariskan naskhah, muat naik gambar bersama hero drama atau filem di media sosial supaya mengundang teka teki masyarakat yang kononnya wujud cinta lokasi. Itu bukan saya,” katanya.

Dalam masa sama, pemilik nama penuh Nur Ezzanie Sherazade Jasny ini juga memaklumkan tidak pernah berasa selesa dengan tahap kemampuan lakonannya justeru sering mencuba watak berlainan dan mencabar untuk mengasah bakat.

“Sebab itu, kalau diamati, setiap watak yang saya bawakan, berbeza. Jalan cerita juga berlainan, ada kisah mengenai pasangan curang, cerita hikayat dan sebagainya.

“Dan terbaharu, watak antagonis dalam drama Impiana: Karma. Saya bersyukur kerana penonton menerima baik lakonan saya yang pertama kali membawakan watak jahat menerusi drama tersebut.

“Saya berterima kasih kepada penggiat lama, antaranya pengarah, Eyra Rahman dan Rashid Sibir yang tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Mereka ini yang banyak menasihatkan supaya tahap lakonan saya sentiasa progresif,” ujarnya.

ISU DALAM THREADS SEKADAR SALAH FAHAM

Ezzanie, sepanjang wawancara ini, sempat mengulas mengenai salah faham seorang netizen terhadap reaksi pelakon ini mengenai komen netizen lain di platform Threads yang membandingkannya dengan Erysha Emyra.

Jelas Ezzanie, dia menghargai apabila netizen memuji lakonannya namun tidak bersetuju apabila dibanding-bandingkan dengan Erysha yang juga sahabat baiknya.

“Salah faham timbul apabila seorang netizen ini menulis komen yang seolah-olah memberi bayangan reaksi saya terhadap satu komen di Threads, ditujukan kepada perbandingan antara saya dengan Erysha, walhal itu tidak berlaku.

“Saya tidak pernah berse­tuju untuk diba­n­ding­kan dengan pelakon lain, jauh sekali bersetuju dengan komen yang merendahkan kawan sendiri.

“Saya mengenali Erysha sejak kami sama-sama bermula dalam bidang peragaan lagi. Tidak mungkin saya bersetuju dengan pandangan yang menjatuhkan dia.

“Semua ini sekadar salah faham. Tapi saya tahu, peminat menjadi sensitif lebih-lebih lagi apabila artis yang mereka minat dibanding-bandingkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN