PETALING JAYA: Selepas lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia penerbangan Asia, Datuk Kamarudin Meranun melangkah ke fasa baharu dengan memperkenalkan jenama Milk Baby Diapers, lampin bebas bahan kimia yang mengutamakan keselamatan dan keselesaan.
Kamarudin berkata, penglibatannya dalam industri lampin bayi bermula daripada keyakinannya terhadap potensi besar sektor tersebut dan lambakan produk lampin bayi di pasaran masih menggunakan bahan kimia berbahaya, terutamanya bagi menghasilkan warna dan corak yang menarik.
“Milk memilih pendekatan minimalis melalui penggunaan hanya dua warna,putih dan biru tanpa sebarang corak, sebagai tanda komitmen terhadap perlindungan kulit bayi.
“Lampin ini dihasilkan menggunakan teknologi tinggi dan diuji terhadap 728 bahan kimia berpotensi berbahaya. Ia bebas klorin, pewangi dan pewarna karsinogenik.
“Lampin ini turut mendapat pengiktirafan dermatologi sebagai selamat untuk kulit sensitif, menjadikannya pilihan premium dengan harga mampu milik,” jelas Kamarudin pada majlis pelancaran jenama tersebut di ibu negara, baru-baru ini.
Walaupun baharu kurang setahun di pasaran, jenama itu sudah berada di 10 negara termasuk Malaysia, Singapura, India, Rusia dan Maldives malah sambutan menggalakkan itu turut melayakkan jenama tersebut meraih tiga anugerah antarabangsa, antaranya Baby Innovation Awards (USA) bagi kategori Rash-Free Diaper Product of The Year 2025.
“Strategi kami bukan mengejar keuntungan jangka pendek, sebaliknya membina jenama bertaraf global. Jenama ini menyasarkan penembusan 20 negara menjelang tahun depan, dengan sasaran jualan 10 juta unit lampin,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan isu kesihatan kanak-kanak, termasuk kes kanser pada usia muda.
Kamarudin percaya pendedahan berpanjangan terhadap bahan kimia harian mungkin menjadi salah satu faktor dan Milk berperanan memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan memilih produk yang bebas risiko.
“Kesedaran terhadap kesihatan dan keselamatan semakin meningkat di seluruh dunia. Ini bukan hanya soal lampin, tetapi soal pendedahan jangka panjang. Sebab itu kami mahu mendidik dan melindungi,” katanya.-UTUSAN










