PETALING JAYA: DAP didakwa membangkitkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana mengalami kekalahan teruk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November lalu.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Harris Idaham Rashid berkata, desakan untuk mengiktiraf UEC adalah bertujuan politik semata-mata.
Kata beliau, topik mengenai UEC sudah lama ‘sejuk’ tetapi sengaja dihangatkan kembali untuk meyakinkan masyarakat Cina bahawa DAP tidak lari daripada perjuangan asal.
“Armada menyeru kepada kerajaan untuk menyedari bahawa DAP hanya ‘playing to the gallery’.
“Ini juga konsisten dengan tuduhan Anthony Loke terhadap Datuk Ewon Benedick apabila Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming sebelum ini memberitahu bahawa pihak partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menuntut pengiktirafan UEC.
Bagaimanapun, Anwar menyatakan pendirian untuk menolak desakan tersebut dengan menyifatkan sebarang tuntutan termasuk tidak boleh meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Mengulas lanjut, Haris berkata, pengiktirafan UEC dibimbangi akan mengakibatkan pelajar Cina merasakan bahawa subjek Bahasa Melayu itu hanya relevan untuk tujuan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.
Untuk mencapai semangat patriotisme yang tinggi, katanya, sistem pendidikan harus mengikut arus perdana dan tidak wajar untuk mengiktiraf sistem pendidikan yang diwujudkan oleh swasta.
“Armada menyokong supaya rakyat Malaysia menjadi trilingual society yang mempunyai penguasaan mantap Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Mandarin atau bahasa lain.
“Penguasaan ini akan memberi kelebihan kepada individu tersebut untuk mendapat peluang pekerjaan yang baik dan memudahkan urusan perniagaan bersama kuasa besar China dan Amerika (Syarikat) kerana tiada masalah komunikasi.
“Walaupun Armada menyokong Malaysia ke arah tersebut tetapi menentang pengiktirafan UEC untuk mencapai tujuan tersebut seperti diyakini oleh pemimpin DAP,” katanya. – UTUSAN










