PETALING JAYA: “Perkara itu tidak berlaku.”
Demikian respons pelakon, Lorenzo Irman, 21, mengenai dakwaan kononnya berlaku cinta lokasi di set penggambaran membabitkan dirinya dengan salah seorang pelakon drama Impiana: Karma arahan sutradara Eyra Rahman.
Menurut pelakon berdarah kacukan Melayu, Itali dan Jawa itu, dakwaan tersebut hanyalah sekadar khabar angin tidak berasas.
“Tidak berlaku cinta lokasi, malah semua pelakon bersikap profesional. Jadi dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali.
“Saya juga ada kehidupan sendiri. Dalam kerjaya ini, ada matlamat yang saya hendak capai. Jadi saya tak pernah terfikir nak bercinta di lokasi penggambaran. Niat untuk cari rezeki.
“Bahkan, cinta lokasi adalah perkara yang akan saya elakkan. Kerja kena profesional,” katanya yang ditemui media di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Lorenzo dalam pada itu meluahkan rasa gembira dengan penerimaan penonton terhadap drama yang ditayangkan di Astro Ria itu.
“Ada penonton memaklumkan yang mereka tertunggu-tunggu episod seterusnya. Saya gembira dengan maklum balas positif yang kami terima.-UTUSAN










