KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah, 35, tidak menafikan yang dirinya pernah beberapa kali teruk terkesan gara-gara kecaman netizen di media sosial.
Jelas penyanyi berasal dari Kuala Lumpur itu, namun dia memilih untuk tidak berkongsi keadaan itu kepada umum bagi menjaga air muka diri sendiri dan keluarga.
“Banyak kali sebenarnya (terkesan). Saya ini nampak sahaja gembira, namun sebenarnya ada juga masa di mana saya menangis kerana kecaman orang di media sosial.
“Tapi perkara itu tidak saya tunjukkan. Cukuplah sekali dulu saya menangis depan khalayak.
“Sekarang saya tak berkongsi emosi secara terbuka kepada umum untuk jaga air muka saya dan keluarga,” katanya.
Shila berkata demikian ketika sidang media dan pelancaran album terbarunya, SA25, baru-baru ini.
Kata penerima Anugerah Kembara AIM2013 itu, dia bersyukur kerana suaminya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli selalu memberi semangat ketika dia berdepan fasa sukar.
“Dulu saya dapatkan bantuan profesional. Sekarang lebih banyak meluahkan kepada suami.
“Bukan mudah untuk pulih dari kesedihan melampau atau kemurungan. Saranan saya, kepada mereka yang berdepan situasi sama, dapatkan khidmat nasih dan bantuan pakar.
“Jangan pendam atau membuat carian di Google kerana tindakan itu tidak menyelesaikan masalah anda,” kongsinya. – UTUSAN










