Cuba baiki hubungan namun dia diam seribu bahasa - Atu

Cuba baiki hubungan namun dia diam seribu bahasa – Atu

PETALING JAYA 21 Jun 2023 - Atu Zero semasa Sidang media KONSERT MUZIKA LAWAK NUSANTARA yang akan menjadi konsert komedi pertama dianjurkan yang akan berlangsung pada 19 Ogos 2023 bertempat di Stadium Malawati Shah Alam. Diantara pelawak daripada Malaysia, kumpulan Zero yang menggabungkan trio adik beradik, Sharif, Atu dan Melati, Bocey yang menggabungkan Achey dan Fad serta pelawak dari Indonesia iaitu Rina Nose, Sule dan Aziz Gagap. / M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Zero, Atu, mengakui sudah melakukan pelbagai usaha untuk memperbaiki hubungan adik-beradik bersama abangnya, Sharif, yang dikatakan renggang sejak dua tahun lalu.

Atu atau  Sharif Kunal Doli Sharif, 33, berkata, dia turut menghubungi Sharif dengan menawarkan peluang untuk bekerjasama semula, namun usaha tersebut tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Saya memang ada usaha. Bukan sekadar berdoa, malah mencari peluang. Ada kalanya kami cuba memanggil Zero untuk membuat persembahan bersama, namun apabila tawaran dibuat, kadang-kadang hanya senyap seribu bahasa.

“Jadi kami teruskan dengan berdua (bersama Syaiful). Kalau dilihat di Instagram dan TikTok, dia juga sudah tidak mengikuti saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas punca perbalahan, Atu menjelaskan terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada konflik tersebut dan tidak menafikan isu kewangan antara perkara yang merenggangkan hubungan mereka.

“Apabila dipendam lama dan akhirnya meletup, memang sukar untuk ditampung lagi. Puncanya pula agak mendalam. Jika diselami, banyak lagi cerita di sebaliknya.

“Dalam konteks industri, kita boleh katakan ia sebahagian daripada masalah kerja. Isu kewangan juga antara faktor, selain beberapa perkara lain.

“Namun, jika dihimpunkan semuanya, apa yang saya perlukan hanyalah satu permohonan maaf, bukan kepada saya semata-mata, tetapi kepada keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Atu menegaskan rasa sayangnya terhadap kumpulan Zero tidak pernah berubah, apatah lagi kumpulan tersebut sudah lebih 12 tahun bertapak dalam industri hiburan tanah air.

“Saya memang sayangkan Zero sebab kami bina semua ini bersama sejak hampir 12 tahun lalu. Dalam tempoh itu, kami sama-sama melalui pahit manis perjalanan ini.

“Namun, kalau hanya satu isu boleh melupakan segalanya, itu terpulang kepada dia. Saya tetap akan teruskan kerana ini sudah menjadi sebahagian daripada kerja dan punca rezeki saya,” katanya.

Dalam pada itu, Atu turut menyatakan kesediaannya menerima nasihat orang sekeliling termasuk sanggup menurunkan ego demi memperbaiki hubungan kekeluargaan.

“Rata-rata menasihatkan supaya perkara ini tidak diperbesarkan kerana ia boleh memberi gambaran buruk kepada keluarga. Mereka yang menasihati saya juga tahu perangai saya dan pihak sebelah sana pun tahu keadaan sebenar.

“Sebagai adik, saya sanggup menurunkan ego demi kebaikan semua,” katanya.

Terdahulu, Sharif pernah mendedahkan dalam sebuah program audio siar bahawa adiknya hampir terjerumus dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, yang didakwa menjadi antara punca konflik antara mereka. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN