PETALING JAYA: Modus operandi campak dan kutip iaitu membuang bungkusan dadah ke laut untuk diambil semula oleh sindiket dikenal pasti sebagai taktik terbaharu bagi mengelakkan dikesan pihak penguat kuasa.
Sindiket itu juga kini semakin berani memperluaskan taktik operasi mereka khususnya di kawasan perairan dan pulau terpencil yang sukar dipantau pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, kegiatan sindiket penyeludupan dadah kini semakin kompleks apabila mereka dikesan menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa termasuk menyamar sebagai bot nelayan untuk mengelakkan dikesan.
Katanya, taktik lain yang dikesan adalah sembunyi dadah di bawah permukaan air menggunakan pelampung yang menyerupai peralatan menangkap ikan.
“Kumpulan ini juga dikesan menggunakan modus operandi penyeludupan dadah dipercayai melibatkan penggunaan pulau tidak berpenghuni sebagai lokasi transit sementara.
“Situasi ini dapat dilihat dengan jelas dalam konteks penyeludupan dari lndonesia khususnya Tanjung Balai Asahan ke kawasan utara Selangor seperti Tanjung Karang, Sekinchan, Sungai Pulai dan Sabak Bernam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sindiket itu bijak memanfaatkan laluan tersembunyi dan kawasan pendaratan yang terlindung meskipun terdapat rondaan konsisten di kawasan perairan itu.
“Mereka menyelinap masuk melalui laluan tikus dan pulau yang tidak diliputi radar pihak berkuasa menyebabkan pergerakan mereka hanya dapat dikesan melalui risikan atau laporan komuniti setempat,” katanya.
Mohd. Rosli berkata, kehadiran tonto darat dan Iaut juga menjadi cabaran besar kerana mereka turut memantau pergerakan aset penguatkuasaan.
“Tonto ini membantu sindiket menukar laluan atau masa pendaratan pada saat terakhir, mengurangkan keberhasilan operasi pemintasan.
“Selain itu, sindiket turut memanfaatkan teknologi komunikasi moden seperti aplikasi tersulit dan koordinat Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dinamik yang membolehkan mereka melakukan pergerakan terancang tanpa meninggalkan jejak komunikasi yang mudah dikesan,” katanya.
Tambahnya, apabila semua faktor ini digabungkan termasuk cabaran aset, geografi dan Iiputan radar, penyeludupan maritim kini menjadi satu ancaman kompleks yang memerlukan pendekatan bersepadu.
Katanya, Maritim Malaysia justeru itu meningkatkan rondaan harian termasuk operasi berasaskan risikan selain memperkukuh pemantauan radar serta elemen komuniti maritim bagi memastikan pengesanan awal dapat dilakukan dan tindakan pintasan dibuat lebih berkesan.
Menurutnya, perancangan operasi berdasarkan pelbagai sumber iaitu melalui penggunaan gabungan elemen Kesedaran Domain Maritim (KDM) melalui maklumat perisikan dan pertukaran maklumat, fakta siasatan, sistem dan sensor, kerjasama serantau, pengawasan laut, udara dan komuniti maritim selain pasukan sukarela.
“Gabungan ini merupakan satu mekanisme untuk mengumpul dan menggabungkan sumber data dan keupayaan sedia ada dalam perancangan operasi,” ujarnya. – UTUSAN










