KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nadeera Zaini, 32, menolak spekulasi kononnya dia bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
Kata pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini itu, cerita mengenai perkahwinan itu hanyalah khabar angin yang bertiup secara tiba-tiba.
“Calon pun tak ada, macam mana nak kahwin? Spekulasi itu tidak benar. Saya pun tidak terfikir ke arah itu.
“Saya tak pasti macam mana cerita ini boleh timbul. Tidaklah diketahui apa niat orang yang buat spekulasi ini.
“Yang jelas adalah memang saya tak ada teman lelaki, belum mahu berkahwin dan mahu tumpukan perhatian kepada karier nyanyian kerana bukan senang nak dapat peluang,” kongsinya.
Nadeera berkata demikian semasa sidang media Konsert Countdown KITA 2026.
Nadeera pada masa yang sama tidak menolak jodoh dan akan berkahwin pada masa tepat.
“Saya serahkan soal jodoh ini kepada ketentuan Allah S.W.T. Biarlah saya benar-benar bersedia sebelum menjadi isteri.
“Kalau Allah tentukan saya berkahwin pada tahun depan atau tahun seterusnya, maka kahwinlah saya.
“Saya percaya jodoh seseorang itu akan tiba pada waktu yang betul-betul tepat. Jadi saya berserah sahaja,” kongsinya lagi.
Sementara itu, penyanyi yang meledak dengan lagu Bukan Lagi Kita itu mengakui bahagia meskipun tidak memiliki teman istimewa.
“Saya tak pernah rasa sunyi sebab saya selalu ditemani keluarga. Saya bahagia dengan insan-insan tersayang ini.
“Dan saya sangat gembira dengan perkembangan kerjaya saya. Sebab itu saya belum mahu berkahwin, saya tidak kesunyian,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai Concert Countdown KITA 2026 pada malam ambang tahun baharu ini, Nadeera meluahkan rasa gembira kerana berpeluang sekali kagi menghiburkan sempena acara gilang gemilang itu nanti.
“Saya akan berduet dengan Hael Husaini pada konsert itu nanti dan paling istimewa, ada kejutan yang akan saya bawakan nanti.
“Jadi saya harap peminat, terutamanya The Nadees datang menyaksikan persembahan saya di IoI City Mall, Putrajaya pada 31 Disember nanti,” ujarnya. – UTUSAN










