BUTTERWORTH : Seorang buruh warga Myanmar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa permit ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini.
Tertuduh, Aung Soe, 39, membuat pengakuan itu semasa pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenis revolver .38 tanpa permit atau lesen yang sah, selain senjata api berkenaan dipercayai diperoleh ketika melakukan kesalahan berkaitan dadah di sebuah bengkel kontena di Lorong Perusahaan Baru, Perai pada pukul 12.10 tengah malam, 21 Disember lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada 14 tahun serta dikenakan sekurang-kurangnya enam kali sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh pula diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.
Dalam pada itu, tiga lagi pertuduhan iaitu melibatkan kesalahan dadah, imigresen dan senjata api membabitkan tertuduh dan rakan senegaranya yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada 23 Februari depan sementara menunggu lantikan jurubahasa.










