TAPAH: Kawasan rekreasi aktiviti mendaki popular Bukit Bangkong, Chemor, Ipoh ditutup sementara kerana terdapat laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua lembu ternakan mati baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kawasan itu dan persekitarannya masih lagi ditutup bagi sebarang aktiviti riadah sehingga haiwan itu ditemukan.
“Saya difahamkan ada langkah untuk memasang jerat dan umpan untuk harimau ini, jadi kita berharap jerat yang dipasang ini berjaya mengumpan harimau ini untuk keluar dan juga menangkapnya.
“Jadi selagi harimau tidak dijumpai, kita masih lagi belum boleh membuka kawasan itu kepada orang ramai untuk keselamatan semua,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Kompleks Perumahan PDRM Tapah di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Superintenden Abdul Malik Hasim akan menggantikan Superintenden Johari Yahya yang akan bertukar ke IPD Nilai sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu.
Menurut Noor Hisam berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah mengarahkan anggotanya dengan kepakaran untuk menjejak harimau itu sebelum berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Berhubung kelibat harimau yang berkemungkinan menarik perhatian pemburu haram, Noor Hisam berkata, kawasan bukit itu telah ditutup untuk sebarang aktiviti.
“Polis dan Perhilitan memang bekerjasama tutup area (kawasan) itu, jadi sesiapa yang tidak ada kebenaran berada di sana akan ditahan.
“Rondaan akan terus kita buat untuk memastikan kawasan tu bebas daripada pihak-pihak yang tidak ada kepentingan atau keperluan di situ,” katanya.
Ujarnya, harimau itu tidak cedera dan aktif yang membuat pemburu haram juga takut menjejak haiwan itu kerana mampu mengancam nyawa mereka. – UTUSAN










