“Tidak semua keluarga boleh terima seorang janda.”
Demikian cerita pelakon dan pelawak, Ieda Moin, semasa berkongsi ujian percintaannya bersama suami, Amril Gulkhan, semasa awal-awal merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 2019.
Cerita Ieda, ketika itu, bakal ibu mertuanya belum bulat hati untuk menerimanya sebagai menantu sehingga pernah terfikir untuk membatalkan hasrat berkahwin sekiranya sukar mendapat restu.
Bagaimanapun dia dan suami tetap berkahwin namun mengakui mengambil masa yang lama untuk memujuk ibu mertua agar bulat hati.
Empat tahun awal perkahwinan, Ieda atau Siti Haida Abdul Moin berkata, dia dan suami terpaksa mengambil keputusan untuk beraya berasingan agar tidak mengeruhkan keadaan keluarga suami.
“Sebenarnya perkahwinan pertama sebelum ini saya sudah hadap banyak perkara murung, menangis semua sudah dilalui. Tapi bila dihadirkan dengan ujian pada perkahwinan kedua, saya anggap semuanya okay sahaja tak ada nangis.
“Cuma saya harap perkara ini tidaklah berlanjutan selama-lamanya, lagipula mungkin dia jadi begitu sebab mami (panggilan kepada ibu mertua) sudah tua.
“Empat tahun kami beraya asing maksudnya suami pulang ke kampung dan saya di Kuala Lumpur bersama anak-anak. Sampai tahun keempat, suami nekad pujuk mami untuk bawa saya balik. Suami bukan anak yang ingkar, terus pujuk sampai mami izinkan.
“Tidak dinafikan suami akak memang ‘anak mak’ tapi dia selalu mempertahankan akak, selalu ada di sisi tanpa buat saya rasa tersisih,” katanya.
Siapa sangka, hubungan Ieda dan ibu mertuanya kini sangat akrab sudah seperti kawan karib. Ditanya mengenai petua untuk melembutkan hati ibu mertua, Ieda berpesan agar jangan cuba berpura-pura menjadi orang lain.
“Jadi sahaja diri kita yang sebenar, seadanya. Walau saya tahu bapa mertua seorang imam dan bagaimana keadaan keluarga mertua, saya berlaku jujur dan berterus terang tidak pandai banyak perkara.
“Saya mengaku tidak mahir mana dalam memasak. Rupanya ibu mertua saya seorang yang boleh bertoleransi cuma mungkin awal-awal itu ada ego.
“Saya pun faham, anaknya waktu itu bujang, tapi tetap pilih saya yang sudah janda siap ada anak,” tambahnya.
Jelas Ida, drama Sumpah Ibuku yang ditayangkan di stesen TV3 yang tular sedikit sebanyak membuatnya terimbau ujian yang perlu dilaluinya di awal perkahwinan tersebut. Tambah Ida, dilema yang dilalui Hadith, harus memilih antara ibu dan isteri memang situasi yang dihadapi banyak orang.
“Sebenarnya situasi ini ramai sahaja pernah hadap sebab ‘anak mak’ itu wujud. Tapi setidaknya suami saya tidaklah di posisi Hadith yang sebenarnya jauh lebih teruk.
“Cuma dalam situasi saya, saya seorang sahaja yang ibu mertua susah diterima. Sebab ipar saya yang lain okay sahaja,” kongsinya.
Menerusi drama Sumpah Ibuku, Ieda memegang karakter sebagai Mak Uda iaitu adik beradik kepada Che Yam lakonan Liza Abdullah.
Sumpah Ibuku mengisahkan seorang ibu yang tidak boleh menerima pilihan anaknya, Hadith, yang mahu berkahwin dengan Husna, (Izara Aishah). Pelbagai perkara dilakukan untuk memisahkan mereka.-UTUSAN











