LARUT: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menzahirkan rasa sedih dan berdukacita di atas kematian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Menurutnya, hubungan yang terjalin lebih tiga dekad dengan Ahli Parlimen Kinabatangan itu terlalu kukuh untuk digoncang oleh perbezaan parti.
Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang sahabat yang sentiasa setia dalam apa jua keadaan.
“Perbezaan ideologi politik bukan halangan untuk memelihara kesetiaan persahabatan. Hubungan persahabatan kami telah berlangsung selama tiga dekad.
“Ia tidak pernah tergugat meskipun kami berlainan fahaman politik. Sahabat tetap sahabat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada penyampaian sumbangan kotak makanan kepada penduduk di Kampung Sangkut, Ijok, Selama di sini hari ini.
Menurut Hamzah, nilai persahabatan bukan diukur ketika senang semata-mata, sebaliknya ia adalah ikatan yang merentasi perbezaan politik, pendirian dan haluan parti.
“Persahabatan itu kekal, bukan atas kepentingan politik, tetapi atas dasar hormat dan hati yang ikhlas,” katanya.
Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi ditinggalkan Allahyarham, Hamzah enggan mengulas perkara itu ketika suasana masih dalam tempoh berkabung.
“Saya tidak mahu mengulas tentang perkara itu kerana Allahyarham baru sahaja meninggalkan kita.
“Saya berdoa semoga Allah merahmati Allahyarham dan menempatkannya bersama para solihin,” katanya.
Katanya, fokus pada waktu ini ialah menghormati pemergian sahabatnya itu, bukan membincangkan perebutan kerusi atau persiapan pilihan raya.
“Sebab itu hari ini saya tidak mahu orang bertanya tentang hal tersebut. Sabar dahulu. Tidak perlu kita bercakap tentangnya sekarang,”katanya. – UTUSAN









